Jualan Rahmah dapat sambutan, mahu MOF tambah peruntukan

LocalBusiness & Finance
28 Sep 2026 • 4:46 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Jualan Rahmah dapat sambutan, mahu MOF tambah peruntukan

PAPAR: Rekod 31.8 juta transaksi Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) dalam tempoh hanya sembilan bulan tahun ini mendorong Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memohon pertimbangan penambahan peruntukan program itu dalam Belanjawan 2027.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata jumlah transaksi PJRM terus menunjukkan peningkatan ketara sejak program itu diperluaskan sekali gus mencerminkan sambutan dan keperluan rakyat terhadap inisiatif berkenaan.

Katanya, pada 2023, jumlah transaksi PJRM direkodkan sebanyak 9.2 juta sebelum meningkat kepada 12.8 juta pada 2024 dan melonjak kepada 27.5 juta pada 2025.

“Untuk tahun ini saja iaitu dari 1 Januari hingga 23 September, jumlah transaksi PJRM sudah mencapai 31.8 juta pembelian di seluruh negara.

“Melihat respons yang amat baik daripada rakyat, kita mengharapkan dan memohon kepada Kementerian Kewangan supaya peruntukan PJRM dapat dipertimbangkan dan ditambah tahun depan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Selawat dan Tadabbur Syukbah Wanita Parlimen Papar di Masjid Daerah Papar, di sini pada Ahad.

Hadir sama Adun Kawang Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Adun Pantai Manis Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata peningkatan transaksi itu menunjukkan PJRM terus menjadi antara intervensi kos sara hidup yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat menerusi penawaran barangan pada harga berpatutan.

“Apabila harga yang berpatutan digabungkan dengan subsidi yang diberikan kerajaan, apa yang ditawarkan dalam PJRM dapat dinikmati rakyat pada harga yang jauh lebih rendah,” katanya.

Menurutnya, KPDN juga akan terus memperluas mekanisme penganjuran PJRM bagi memastikan program itu dapat menjangkau lebih ramai golongan sasaran.

Penganjuran kini merangkumi jualan di premis, luar premis dan secara bergerak, selain dilaksanakan secara bertema seperti PJRM Musim Gaji, PJRM Musim Perayaan dan PJRM Musim Sekolah, katanya.

“Masih ada rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup bukan hanya di luar bandar dan kawasan pedalaman tetapi juga di kawasan bandar. Jadi, kita mahu memastikan mekanisme penganjuran PJRM dapat diperluas supaya akses rakyat kepada program ini semakin mudah,” katanya.

Selain itu, beliau berkata KPDN turut memperkenalkan takwim PJRM pada 2025 selepas program itu menjadi inisiatif tetap kerajaan, bagi membolehkan rakyat mendapatkan maklumat lebih awal dan merancang pembelian.

Katanya, takwim berkenaan boleh dirujuk menerusi laman sesawang KPDN, manakala maklumat berkaitan PJRM turut boleh diakses melalui aplikasi Info Jualan Rahmah yang boleh dimuat turun menerusi Apple App Store dan Google Play Store.

Dalam usaha memperluas hebahan, Armizan berkata KPDN akan mula memasang pelekat khas takwim PJRM di lokasi tumpuan awam bermula 1 Oktober ini.

Menurutnya, antara lokasi yang disasarkan termasuk rumah ibadat, pejabat dan premis kerajaan serta stesen bas, tertakluk kepada permintaan dan persetujuan pemilik premis.

“Dengan cara ini, contohnya jemaah yang datang ke masjid boleh mendapatkan maklumat mengenai penganjuran PJRM di kawasan sekitar mereka melalui pelekat berkenaan.

“Langkah ini juga merupakan usaha KPDN memperluas akses maklumat kepada rakyat, khususnya mereka yang masih belum mengetahui jadual dan lokasi penganjuran PJRM.

“Di bawah pentadbiran Kerajaan Madani, intervensi melalui program jualan murah kerajaan kini tidak lagi bersifat bermusim atau dibuat secara ad hoc sebaliknya menjadi inisiatif tetap dengan aktiviti serta peruntukan khusus di bawah agenda Payung Rahmah dalam belanjawan tahunan kerajaan bermula 2024,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved