
PAPAR: Sebanyak RM100,000 diperuntukkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memperkasa kemudahan pendidikan dan persekitaran pembelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benoni menerusi Program Sekolah Angkat Madani 2026.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata peruntukan itu dimanfaatkan untuk menaik taraf Bengkel Sains Rumah Tangga dan Bengkel Rekaan Jahitan Pakaian, selain membaiki bumbung tambahan surau serta membeli aset bagi meningkatkan kemudahan pengajaran dan pembelajaran.
Katanya, penambahbaikan Bengkel Rekaan Jahitan Pakaian diberi keutamaan memandangkan SMK Benoni adalah satu-satunya sekolah di Sabah yang menawarkan mata pelajaran berkenaan.
“Ini menunjukkan komitmen KPDN untuk memastikan Program Sekolah Angkat Madani bukan sekadar menyediakan kemudahan fizikal, tetapi turut memberi nilai tambah kepada pendidikan dan pembangunan kemahiran murid.
“Insya-Allah, melalui penambahbaikan ini, kita berharap murid dapat menikmati persekitaran pembelajaran yang lebih baik serta mengembangkan kemahiran dalam bidang yang mereka minati,” katanya ketika melancarkan Program Sekolah Angkat Madani KPDN 2026 di SMK Benoni, di sini, pada Jumaat.






