Jualan usahawan sempena F1 cecah setengah juta

LocalBusiness & Finance
6 Oct 2026 • 12:31 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jualan usahawan sempena F1 cecah setengah juta

PUTRAJAYA – Keseluruhan jualan makanan dan minuman membabitkan 40 usahawan mikro tempatan di Litar Rasa Madani, G Hillstand bersempena dengan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 mencecah RM555,000 sepanjang tiga hari penganjurannya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berkata, pencapaian mengatasi sasaran awal RM500,000 itu membuktikan bahawa acara antarabangsa seperti F1 turut mampu membuka ruang kepada perusahaan mikro tempatan untuk menjana pendapatan dan mendapat pelanggan baharu.

Beliau berkata, kadar sewa komersial di G Hillstand bagi tempoh tiga hari melebihi RM6,000, tidak termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), selain komisen sebanyak 15 peratus daripada jumlah jualan kasar.

“Namun, bagi 40 usahawan Litar Rasa Madani, mereka tidak dikenakan sewa tapak atau komisen jualan. Mereka hanya perlu membayar RM180 bagi lesen perniagaan kepada Majlis Perbandaran Sepang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sim berkata Litar Rasa Madani bukan sahaja memberikan pilihan makanan pada harga berpatutan kepada pemegang Tiket Madani, malah memastikan limpahan ekonomi daripada acara antarabangsa seperti F1 turut sampai kepada usahawan kecil tempatan.

Beliau berkata acara antarabangsa seperti F1 tidak semestinya hanya membuka peluang kepada syarikat besar, tetapi juga harus memastikan usahawan kecil Malaysia turut diberi ruang untuk berada di pentas tersebut.

“Hasilnya, ramai peniaga terpaksa menambah stok beberapa kali sepanjang acara. Pengunjung dapat menikmati F1 dengan makanan dan minuman pada harga yang berpatutan, manakala usahawan kita pula dapat berniaga dan mendapat pelanggan baharu,” katanya.

Sim berkata pihaknya akan terus memperluas akses pasaran kepada perusahaan mikro dan kecil dengan mengurangkan halangan kos serta membuka lebih banyak peluang untuk mereka menyertai acara dan pasaran berskala besar.

Litar Rasa Madani ditempatkan di G Hillstand, iaitu kawasan Tiket Madani berharga RM200 untuk tiga hari penganjuran F1 GP Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026, dengan 10,000 tiket diperuntukkan khas kepada pemegang MyKad.

Sepanjang tiga hari acara, 40 gerai berkenaan menawarkan lebih 100 pilihan makanan dan minuman, termasuk makanan tempatan seperti nasi lemak ayam rendang, nasi kerabu, laksa, patin tempoyak dan keropok lekor.

Pengunjung di kawasan berkenaan turut menikmati kemudahan isi semula air dan ruang makan, selain akses mudah kepada tandas dan surau. – Bernama

The post Jualan usahawan sempena F1 cecah setengah juta appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved