Tak nak untung ke bagi tapak percuma di SIC? KUSKOP jawab – “Usahawan kaya, KUSKOP bahagia”

LocalBusiness & Finance
6 Oct 2026 • 5:58 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mencuri perhatian menerusi responsnya terhadap persoalan seorang pengguna media sosial mengenai pemberian tapak perniagaan secara percuma kepada usahawan mikro sempena Formula 1 Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain 2026 di Sepang.

Persoalan itu timbul selepas KUSKOP berkongsi mengenai kejayaan Litar Rasa MADANI yang merekodkan jumlah keseluruhan jualan RM555,350 dengan kehadiran kira kira 19,000 pengunjung sepanjang penganjurannya.

Seorang pengguna kemudian mempersoalkan pemberian tapak secara percuma kepada peniaga, termasuk bagaimana kementerian berkenaan memperoleh manfaat daripada pendekatan tersebut.

Menjawab komen berkenaan, KUSKOP secara berseloroh menjelaskan bahawa matlamatnya adalah untuk melihat usahawan tempatan turut menikmati manfaat ekonomi.

“Kita kaya lah sama sama. Usahawan kaya, KUSKOP bahagia. Itu motto yang kita perjuangkan,” jawab KUSKOP di platform Threads.

Image from: Tak nak untung ke bagi tapak percuma di SIC? KUSKOP jawab – “Usahawan kaya, KUSKOP bahagia”

Respons itu merujuk kepada pendekatan kementerian berkenaan dalam mengurangkan beban kos penyertaan usahawan mikro supaya mereka berpeluang berniaga dalam acara antarabangsa berskala besar.

Menerusi Litar Rasa MADANI di G Hillstand, seramai 40 usahawan mikro tempatan diberi ruang berniaga tanpa dikenakan sewa tapak dan komisen jualan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong sebelum ini berkata, kadar sewa komersial di kawasan tersebut bagi tempoh tiga hari melebihi RM6,000, tidak termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST), selain komisen 15 peratus daripada jumlah jualan kasar.

Image from: Tak nak untung ke bagi tapak percuma di SIC? KUSKOP jawab – “Usahawan kaya, KUSKOP bahagia”

Sebaliknya, usahawan yang menyertai Litar Rasa MADANI hanya perlu membayar RM180 bagi lesen perniagaan kepada Majlis Perbandaran Sepang.

Bagi membantu operasi peniaga, KUSKOP turut menyediakan kemudahan asas termasuk khemah, meja, kerusi, peti penyejuk dan kipas di setiap gerai.

“KUSKOP mahu memastikan usahawan kecil Malaysia turut mempunyai ruang untuk berada di pentas acara antarabangsa seperti F1 tanpa dibebani kos penyertaan yang tinggi.
“Dengan sewa tapak percuma dan komisen sifar, mereka boleh memberi tumpuan kepada stok, tenaga kerja dan operasi perniagaan,” kata beliau.

Image from: Tak nak untung ke bagi tapak percuma di SIC? KUSKOP jawab – “Usahawan kaya, KUSKOP bahagia”

Litar Rasa MADANI menampilkan 40 gerai dengan lebih 100 pilihan makanan dan minuman termasuk nasi lemak ayam rendang, nasi kerabu, laksa, patin tempoyak serta keropok lekor.

Menurut Steven, pendekatan itu merupakan sebahagian usaha KUSKOP membuka akses pasaran lebih luas kepada perusahaan mikro dan kecil, selain memastikan peluang ekonomi daripada penganjuran acara antarabangsa turut dapat dimanfaatkan usahawan tempatan.

Sumber: Threads officialmedmalaysia

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved