Juara Sukma 2026 milik Selangor, 1 September cuti peristiwa

24 Aug 2026 • 10:59 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Juara Sukma 2026 milik Selangor, 1 September cuti peristiwa

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mengumumkan 1 September ini sebagai hari cuti peristiwa khas sempena kejayaan kontinjen negeri itu muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) 2026.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat sebagai tanda penghargaan kepada atlet, pegawai serta ibu bapa yang bersama-sama menyokong perjuangan kontinjen Merah Kuning.

“Atas prestasi luar biasa dan sebagai tanda penghargaan kepada atlet, pegawai dan ibu bapa, saya berbesar hati mengumumkan cuti peristiwa khas pada 1 September ini.

“Saya amat gembira dengan prestasi dan sokongan semua pihak yang gigih menjayakan Sukma sejak dua minggu lalu,” katanya ketika mengumumkan perkara itu pada majlis penutupan Sukma di Arena Walk, di sini, malam ini.

Majlis penutupan temasya edisi ke-22 itu turut disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang berkenan mencemar duli, selain dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selangor muncul juara keseluruhan Sukma 2026 selepas mengumpul 245 pingat, terdiri daripada 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa, sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan.

Wilayah Persekutuan menduduki tempat kedua dengan 51 emas, 54 perak dan 52 gangsa, manakala Terengganu berada di tempat ketiga dengan 43 emas, 44 perak serta 36 gangsa.

Dalam pada itu, atlet Selangor yang meraih pingat emas bakal menerima insentif sebagai penghargaan atas kejayaan mereka.

Atlet bagi acara individu hingga kumpulan bertiga akan menerima RM15,000, manakala atlet dalam acara melibatkan empat hingga 10 orang menerima RM10,000.

Bagi acara berkumpulan yang melibatkan lebih 10 atlet pula, setiap atlet akan menerima insentif sebanyak RM7,000.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan Selangor menutup tirai Sukma 2026 dengan pencapaian membanggakan selepas mendominasi kutipan pingat sepanjang temasya berlangsung.

The post Juara Sukma 2026 milik Selangor, 1 September cuti peristiwa appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved