Judi dalam talian: Lapan warga Indonesia didakwa

28 Oct 2026 • 4:26 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Judi dalam talian: Lapan warga Indonesia didakwa

TAWAU: Lapan warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret di sini, Selasa, atas kesalahan memiliki peranti untuk menjalankan aktiviti perjudian dalam talian menerusi pusat panggilan.

Bagaimanapun, kesemua lapan lelaki itu mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka.

Tertuduh yang berasal dari Jakarta, Binjai, Medan dan Karawang dikenal pasti sebagai Amat Saputro, Ricky, Muhammad Oddy Nugraha, Micheal, Jeffry Yulius, Dedi Rahman, Jeancent Verianto Saputra dan Malum Wasta Siagian. Kesemua mereka mempunyai pasport yang sah.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa bertindak dengan niat bersama untuk mengawal atau memiliki peranti iaitu lima komputer riba pelbagai jenama yang digunakan bagi aktiviti perjudian dalam talian melibatkan pusat panggilan dan transaksi kredit perjudian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Cynthia, Jalan Chong Thien Vun, di sini, kira-kira jam 9 malam pada 22 Oktober tahun ini.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Akta 289) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda antara RM10,000 hingga RM100,000 bagi setiap mesin perjudian yang disita serta hukuman penjara sehingga lima tahun.

Mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap tertuduh dengan dua penjamin tempatan yang menetap di Tawau, selain mengenakan syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 November bagi pengurusan kes praperbicaraan.

Terdahulu, pegawai pendakwa ASP Nur Intan Jamrin mencadangkan wang jaminan sebanyak RM8,000 bagi setiap tertuduh dengan dua penjamin tempatan.

Beliau turut memohon beberapa syarat termasuk mewajibkan tertuduh melapor diri kepada pegawai penyiasat sekali sebulan dan menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah untuk disimpan.

Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar wang jaminan dikurangkan dengan menyatakan bahawa mereka hanyalah pekerja biasa yang mencari rezeki untuk menyara keluarga di Indonesia.

Mereka turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa kemampuan kewangan mereka terhad, bukan golongan berada dan bukan penduduk tempatan di Sabah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved