Sindiket pindah wang haram tumpas, 8 warga Bangladesh ditahan

LocalBusiness & Finance
28 Oct 2026 • 2:41 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sindiket pindah wang haram tumpas, 8 warga Bangladesh ditahan

PETALING JAYA -Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan lapan lelaki warga Bangladesh yang disyaki terbabit dalam kegiatan pemindahan wang secara tidak sah dalam operasi khas di tiga lokasi sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur, semalam.

Operasi bermula pukul 2.37 petang itu dilaksanakan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tangkapan dilakukan hasil maklumat risikan yang dijalankan selama sebulan.

Menurutnya, semakan awal mendapati dua daripada individu yang ditahan melakukan kesalahan tinggal lebih masa, manakala enam lagi disyaki menyalahgunakan pas masing-masing.

“Modus operandi sindiket adalah dengan menjadikan premis perniagaan runcit dan borong sebagai penyamaran bagi mengaburi pihak berkuasa daripada mengesan kegiatan pemindahan wang secara tidak sah melalui sistem Hundi.

“Sindiket dipercayai menyasarkan warga Bangladesh di sekitar Lembah Klang dengan menggunakan akaun e-dompet (eWallet) dan akaun bank tempatan yang didaftarkan atas nama ejen warga asing bagi menjalankan transaksi kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi pelanggan yang tidak mempunyai kemudahan akaun digital, urusan penerimaan dan penghantaran wang dilaksanakan secara tunai.

Zakaria berkata, pemeriksaan turut mendapati ejen Hundi berkenaan beroperasi mengikut waktu perbankan di Bangladesh, iaitu Ahad hingga Khamis dari pukul 12 tengah hari hingga 8 malam waktu tempatan.

Katanya, jumlah transaksi yang direkodkan dalam akaun e-dompet berkaitan bagi tempoh Januari hingga Oktober inj melebihi RM180,000.

“JIM turut menyita lima pasport Bangladesh, lima telefon bimbit, salinan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), salinan lesen Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Selain itu, kod QR, komputer riba, kamera litar tertutup (CCTV), cop kedai, kunci kedai serta wang tunai berjumlah RM24,720 yang dipercayai hasil kegiatan berkenaan,” ujarnya.

Zakaria berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Beliau menambah, dua lelaki warga Bangladesh serta seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

The post Sindiket pindah wang haram tumpas, 8 warga Bangladesh ditahan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved