Jumlah jualan CSC Steel dijangka terus meningkat dipacu pemulihan sektor pembinaan, perindustrian – TA Securities
diyana
21/08/2023 - 16:59
KUALA LUMPUR 21 Ogos - TA Securities menjangkakan jumlah jualan CSC Steel Holdings Berhad terus meningkat pada suku-suku mendatang, seiring dengan pemulihan sektor pembinaan dan perindustrian.
Bagaimanapun, katanya, harga keluli global berkemungkinan kekal tidak memberangsangkan memandangkan China masih mengalami krisis hartanah.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, TA Securities berkata tidak termasuk peruntukan untuk inventori yang dikurangkan sebanyak RM8.5 juta, keuntungan CSC Steel pada separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) berjumlah RM39.2 juta adalah melebihi jangkaan, mencakupi 81.2% daripada anggaran tahun penuh firma.
Katanya, varians positif berkenaan disebabkan terutamanya oleh jumlah jualan yang lebih kukuh daripada jangkaan.
“Bagi tahun ke tahun, keuntungan 1HFY23 meningkat 5.9% kepada RM39.2 juta walaupun pendapatan merosot 20.2% kepada RM778.2 juta.
“Keuntungannya lebih kukuh sebahagian besarnya didorong oleh jumlah jualan yang kukuh, walaupun purata harga jualan produk keluli lebih rendah,” katanya.
Sementara itu, kunci kira-kiranya kekal kukuh dengan sifar pinjaman dan kedudukan tunai bersihnya bertambah baik daripada RM280.3 juta suku lalu kepada RM345 juta atau 90.8sen sesaham.
“Berikutan keputusan 1HFY23 yang lebih kukuh daripada jangkaan, unjuran pendapatan bagi FY23, FY24 dan FY25 masing-masing ditingkatkan sebanyak 17.7%, 4.1% dan 6%, selepas mengambil kira jumlah jualan yang lebih tinggi,” kata firma itu.
Sehubungan itu, saranan ‘pegang’ dikekalkan dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM1.21 sesaham daripada RM1.18. - DagangNews.com

