
KUALA LUMPUR: Jumlah kerugian sebenar serta nilai keseluruhan yang dapat diperoleh semula hasil pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery hanya dapat ditentukan setelah proses pemulihan tersebut dimuktamadkan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, KWAP yang merupakan pemegang saham minoriti dalam eFishery akan terus meneroka dan melaksanakan segala saluran bersesuaian bagi memaksimumkan pemulihan nilai pelaburannya.
Beliau berkata, jumlah sebenar pelaburan KWAP dalam eFishery adalah sebanyak RM163.4 juta, mewakili kira-kira 2.51 peratus pegangan saham dalam syarikat tersebut.
“Susulan pendedahan mengenai manipulasi kewangan dan penyelewengan fakta dalam laporan kewangan eFishery, KWAP telah melaksanakan semakan menyeluruh terhadap proses penilaian, kelulusan dan pemantauan pelaburan berkenaan.
“Semakan tersebut turut merangkumi maklumat yang tersedia kepada KWAP sepanjang tempoh pelaburan serta mekanisme pemantauan pasca pelaburan,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman web rasmi Parlimen.
Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas) mengenai jumlah sebenar kerugian serta dana yang berjaya diperoleh semula KWAP menerusi pelaburan dalam eFishery.
Amir Hamzah berkata, meskipun pelaburan berkenaan telah melalui proses penilaian dan tadbir urus ditetapkan, termasuk pengesahan daripada juruaudit antarabangsa bertauliah berdasarkan maklumat yang tersedia pada ketika itu, eFishery didapati melibatkan manipulasi kewangan yang disengajakan serta penyelewengan fakta dalam laporan kewangan syarikat.
“Beberapa pelabur institusi global utama turut terjejas akibat salah laku berkenaan. Hasil semakan tersebut telah dibentangkan kepada Lembaga KWAP untuk penelitian dan perbincangan terperinci dan tindakan susulan sewajarnya telah diambil selaras dengan rangka kerja tadbir urus dan prinsip akauntabiliti institusi,” katanya. – UTUSAN
The post Jumlah kerugian sebenar KWAP dalam eFishery belum muktamad appeared first on Utusan Malaysia.






