sarah29/10/2026 - 09:04 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Okt - Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) masih berusaha mendapatkan semula pelaburan berjumlah RM163.4 juta dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery, susulan pendedahan manipulasi kewangan dan penyelewengan fakta dalam laporan kewangan syarikat berkenaan.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan jumlah kerugian sebenar serta nilai dana yang dapat diperoleh semula masih belum dapat ditentukan kerana proses pemulihan pelaburan tersebut belum dimuktamadkan.
Menurut kementerian itu, KWAP yang memiliki kira-kira 2.51% pegangan saham dalam eFishery telah melaksanakan semakan menyeluruh terhadap proses penilaian, kelulusan dan pemantauan pelaburan berkenaan, termasuk maklumat yang tersedia ketika keputusan pelaburan dibuat.
Penjelasan itu diberikan menerusi dua jawapan bertulis Parlimen kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan, yang meminta penjelasan mengenai kerugian, kelemahan usaha wajar (due diligence) serta tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.
MOF menjelaskan, pelaburan berkenaan telah melalui proses penilaian dalaman, usaha wajar bebas serta penelitian aspek kewangan, perundangan dan operasi sebelum diluluskan, termasuk pengesahan daripada juruaudit antarabangsa bertauliah berdasarkan maklumat yang tersedia ketika itu.
Bagaimanapun, eFishery kemudiannya didapati terlibat dalam manipulasi kewangan yang disengajakan serta penyelewengan fakta dalam laporan kewangan, yang turut menjejaskan beberapa pelabur institusi global utama.
Hasil semakan dalaman KWAP telah dibentangkan kepada Lembaga KWAP untuk penelitian terperinci, dengan tindakan susulan diambil mengikut rangka kerja tadbir urus dan prinsip akauntabiliti institusi. Bagaimanapun, jawapan Parlimen itu tidak memperincikan individu yang meluluskan pelaburan atau bentuk tindakan dalaman yang telah diambil.
KWAP turut bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan dan konsortium pelabur bagi mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab, selain meneroka saluran yang bersesuaian untuk memaksimumkan pemulihan nilai pelaburannya.
Dalam perkembangan berkaitan, MOF merujuk laporan media bertarikh 13 Ogos 2026 yang memetik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai memaklumkan bahawa siasatan setakat tarikh tersebut belum menemukan unsur salah laku jenayah melibatkan rasuah atau penyelewengan berkaitan pelaburan KWAP dalam eFishery. Bagaimanapun, siasatan SPRM masih berjalan ketika laporan itu dibuat.
Pada masa sama, KWAP telah memperkukuh pendekatan pelaburan pasaran persendirian melalui kepelbagaian portfolio, kerjasama dengan pengurus dana berpengalaman dan rakan strategik serta pemantauan pascapelaburan yang lebih ketat bagi melindungi kepentingan dana dan pesara.- DagangNews.com






