Jumlah pinjaman diluluskan bagi pembelian hartanah pada Jun 2025 susut 4.3% kepada RM22.3 bilion, kata MBSB Research

LocalBusiness & Finance
21 Aug 2025 • 9:29 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jumlah pinjaman diluluskan bagi pembelian hartanah pada Jun 2025 susut 4.3% kepada RM22.3 bilion, kata MBSB Research

image is not available

21/08/2025 - 09:29

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Jumlah pinjaman yang diluluskan untuk pembelian hartanah pada Jun 2025 menyusut 4.3% kepada RM22.3 bilion disebabkan institusi kewangan mengambil pendekatan berhati-hati terhadap aktiviti pembiayaan, kata MBSB Research.

Katanya, penyusutan itu sebahagian besarnya disebabkan kadar kelulusan pinjaman yang lebih rendah iaitu 42.5% pada Jun 2025 berbanding 44.2% pada Jun 2024 dab 46.4% pada Mei 2025.

Firma penyelidikan itu berkata, angka itu menunjukkan institusi kewangan mengambil pendekatan lebih konservatif, sama ada berdasarkan penilaian risiko yang lebih ketat atau profil peminjam yang kurang kukuh sepanjang tempoh tersebut.

"Bagaimanapun, permohonan pinjaman kekal stabil, menandakan minat pembelian hartanah masih wujud. Jumlah permohonan pinjaman untuk pembelian hartanah adalah sebanyak RM52.5 bilion pada Jun 2025, hanya menyusut sedikit sebanyak 0.5% dari tahun ke tahun dan 6.9% bulan ke bulan, dipercayai terkesan oleh musim cuti sekolah yang biasanya menyebabkan aktiviti pasaran menjadi lebih perlahan.

"Secara kumulatif, jumlah pinjaman yang diluluskan untuk separuh pertama tahun 2025 (1H25) berada pada paras RM133.2 bilion, lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lalu dengan penurunan 0.7%.

"Walaupun penurunan ini tidak ketara, ia mencerminkan suasana pemberian pinjaman yang lebih berhati-hati dalam kalangan bank," katanya dalam satu nota kajian.

MBSB Research menjangkakan pemulihan kelulusan pinjaman dalam separuh kedua 2025, berikutan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada Julai 2025, yang dijangka meningkatkan kemampuan pembiayaan pembeli rumah serta menarik semula minat permohonan pinjaman.

“Kami melihat penurunan kelulusan pinjaman pada Jun sebagai fenomena sementara. Pemotongan OPR dijangka mengurangkan kos pinjaman dan seterusnya meningkatkan kadar kelulusan apabila permintaan meningkat semula,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, sektor hartanah secara keseluruhannya dijangka terus kukuh, didorong peningkatan jualan hartanah pada 2024 yang akan diterjemahkan kepada pertumbuhan pendapatan pemaju pada 2025.

"Dengan kadar pembiayaan yang lebih rendah, kemampuan pembeli rumah dijangka meningkat. Ini akan memberi kesan positif kepada kadar kelulusan pinjaman apabila bank menyesuaikan dasar mereka dengan keadaan pasaran semasa,” katanya.

Mah Sing Group, Matrix Concepts dan UOA Development menjadi pilihan utama MBSB Research dalam sektor itu.

Firma penyelidikan itu kekal positif terhadap Mah Sing memandangkan prospek jualan baharunya yang stabil, disokong oleh pelancaran projek perumahan mampu milik selain Matrix Concepts kerana pembangunan MVV City dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pendapatan syarikat.- DagangNews.com

standard