Kos pengeluaran rendah, MBSB Research naikkan unjuran pendapatan TSH Resources kepada RM157.3 juta pada FY25

LocalBusiness & Finance
21 Aug 2025 • 11:23 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kos pengeluaran rendah, MBSB Research naikkan unjuran pendapatan TSH Resources kepada RM157.3 juta pada FY25

image is not available

21/08/2025 - 11:23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Ogos - MBSB Research menaikkan unjuran pendapatan TSH Resources Berhad bagi tahun kewangan 2025 (FY25) kepada RM157.3 juta disokong kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang dianggar kurang daripada RM2,000 bagi setiap tan metrik.

Katanya, unjuran baharu itu menunjukkan daya tahan operasi dan potensi pertumbuhan keuntungan yang lebih kukuh, terutama dalam persekitaran harga komoditi yang positif terutamanya bagi MSM dan isirung sawit (PK).

Firma penyelidikan itu berkata, semakan unjuran itu dibuat selepas kumpulan itu mencatatkan peningkatan untung bersih kepada RM49.2 juta pada 2QFY25 mewakili lebih 60% anggaran tahun penuh.

"Peningkatan itu dipacu pertumbuhan hasil yang stabil di kedua-dua rantau Malaysia (+3.9%) dan Indonesia (+8.8%), disokong oleh harga MSM dan PK yang kekal tinggi.

"Walaupun pengeluaran buah tandan segar (BTS) kekal hampir mendatar pada 205,049 tan, TSH Resources berjaya meningkatkan jumlah jualan MSM dan PK masing-masing sebanyak 5.1% dan 3.2% hasil daripada jurang harga yang semakin melebar antara minyak sawit dan minyak kacang soya," katanya dalam satu nota kajian.

MBSB Research berkata, kumpulan itu telah mencapai pengurangan kos pengeluaran, kini dianggarkan kurang daripada RM2,000 setiap tan, sekali gus meletakkan TSH Resources pada kedudukan yang lebih kompetitif berbanding purata sektor perladangan Malaysia, di mana harga purata MSM dijangka melebihi RM4,000 setiap tan bagi tahun 2025–2026.

Katanya, walaupun momentum keuntungan kekal positif, sebahagian keuntungan masih terkesan oleh kenaikan levi dan duti eksport Indonesia, yang meningkat kepada RM25.9 juta dalam suku ini.

Selain itu, pendapatan daripada usaha sama (JV) penapisan bersama Wilmar International terus lemah, menurun kepada RM1.9 juta berbanding RM2.4 juta tahun lalu, disebabkan kos perolehan bahan mentah yang tinggi.

"Dengan pengurusan kos yang lebih cekap, output yang stabil, dan pertumbuhan jualan yang berterusan, TSH Resources dijangka mengekalkan keuntungan yang kukuh dalam tempoh tiga tahun akan datang, walaupun berdepan tekanan luaran seperti levi eksport dan ketidaktentuan pasaran.

"Campuran operasi strategik di Indonesia dan asas kos yang kompetitif menjadikan TSH Resources sebagai pemain perladangan pertengahan yang stabil dan mampan," katanya.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "neutral" dengan harga sasaran (TP) RM1.23 sesaham. - DagangNews.com

standard