
JAKARTA, 26 OKT: Jumlah titik panas kebakaran hutan dan tanah di Indonesia mencatatkan penurunan mendadak kepada 147 semalam, berkurangan lebih separuh berikutan hujan yang membantu meredakan keadaan serta memudahkan operasi pemadaman kebakaran.
Kementerian Perhutanan Indonesia hari ini memaklumkan bahawa data pemantauan satelit setakat 9 malam waktu tempatan semalam menunjukkan jumlah titik panas di enam wilayah merosot daripada 226 kepada hanya 26, menandakan keadaan kebakaran semakin pulih.
"Penurunan ini meneruskan trend positif yang diperhatikan sejak beberapa hari lalu.
"Bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa titik panas merupakan petunjuk anomali suhu permukaan yang dikesan menerusi satelit NASA Terra/Aqua, SNPP dan NOAA-20," menurut kementerian itu dalam hantaran media sosial hari ini.
Daripada enam wilayah berkenaan, Kalimantan Barat merekodkan 15 titik panas, diikuti Kalimantan Tengah (lima) dan Kalimantan Selatan (empat).
Di Sumatera, Sumatera Selatan mencatatkan dua titik panas, manakala tiada titik panas dikesan di Jambi dan Riau.
Menurut kementerian itu, hujan di beberapa kawasan di Sumatera Selatan, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan semalam membantu meredakan kebakaran serta melancarkan operasi pemadaman.
Bagaimanapun, kementerian menegaskan bahawa pemantauan berterusan masih diperlukan, khususnya di kawasan tanah gambut kerana bara api di bawah permukaan tanah masih boleh berterusan walaupun selepas hujan.
Meskipun jumlah titik panas semakin berkurangan dan keadaan cuaca bertambah baik, operasi pemadaman kebakaran masih diteruskan di beberapa kawasan terjejas.
Kawasan berkenaan termasuk Tanjung Jabung Timur di Jambi; Muara Enim, Ogan Komering Ilir, Banyuasin dan Musi Banyuasin di Sumatera Selatan; Pulang Pisau di Kalimantan Tengah; serta Banjarbaru di Kalimantan Selatan.
Kementerian memaklumkan 49 pesawat masih dikerahkan bagi menyokong operasi pemadaman kebakaran, termasuk 32 pesawat untuk operasi pengeboman air dan 17 lagi bagi rondaan udara serta operasi pengubahsuaian cuaca.
Sementara itu, di Malaysia, keadaan langit di Kuala Lumpur kembali cerah hari ini selepas beberapa hari mengalami jarak penglihatan terhad akibat jerebu rentas sempadan yang dikaitkan dengan kebakaran hutan dan tanah di Indonesia.
Kuala Lumpur merekodkan kualiti udara pada tahap sederhana setakat 7 malam Ahad.
Bagaimanapun, tujuh kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100, iaitu pada tahap tidak sihat, setakat 9 pagi Isnin, menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar Malaysia.




