
KOTA BHARU – Jumlah tuntutan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (Lindung 24 Jam) di Kelantan meningkat empat kali ganda kepada 64 kes berbanding 16 kes sejak diperkenalkan pada Jun lepas.
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan, Wan Izani Wan Isa berkata, peningkatan itu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM66,691.96, menunjukkan semakin ramai menyedari kewujudan skim itu dan perlindungan di luar waktu kerja termasuk risiko kemalangan pada bila-bila masa.
“Sehingga 31 Ogos, sebanyak 120 kes telah dibuat pembayaran di bawah skim itu meliputi pelbagai kejadian kemalangan.
“Antara kes diterima ialah kemalangan tidak berkaitan dengan pekerjaan seperti jatuh pokok ketika mencantas dahan serta jatuh ketika bersukan dan memancing,” katanya selepas Sesi Libat Urus dan Jalinan Mesra bersama dengan Media Peringkat Perkeso Kelantan 2026, di sini, semalam.
Beliau berkata, selagi kecederaan diperakui menerusi siasatan perubatan dan pencarum mempunyai cuti sakit hospital atau klinik swasta, mereka boleh mengemukakan tuntutan tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
“Situasi dan corak tuntutan di Kelantan tidak semestinya sama dengan negeri lain kerana jenis kemalangan banyak dipengaruhi aktiviti harian serta persekitaran tempat tinggal pencarum.
“Selagi kejadian itu memenuhi takrif kemalangan bukan bencana kerja dan syarat, pencarum boleh mengemukakan tuntutan untuk penilaian Perkeso,” katanya.
Wan Izani berkata, bayaran faedah di bawah skim itu tidak mempunyai had keseluruhan tertentu, sebaliknya bergantung kepada jenis faedah serta keadaan dan tahap kecederaan dialami pencarum.
“Bagi kemalangan yang mengakibatkan pencarum meninggal dunia, faedah boleh disalurkan kepada orang tanggungan atau waris yang layak termasuk pasangan dan anak.
“Sekiranya tiada waris utama, terdapat juga peruntukan kepada pewaris berikutnya seperti ibu bapa, datuk atau nenek dan adik-beradik tertakluk kepada syarat kelayakan ditetapkan,” katanya.- Bernama
The post Jumlah tuntutan Lindung 24 di Kelantan meningkat empat kali ganda appeared first on Kosmo Online.






