Jatuh pokok pun boleh tuntut Lindung 24 Jam

LocalHealth & Fitness
12 Sep 2026 • 11:58 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jatuh pokok pun boleh tuntut Lindung 24 Jam

KOTA BHARU – Jatuh dari pokok ketika memotong dahan di halaman rumah selepas pulang bekerja merupakan antara perlindungan yang boleh dituntut menerusi Skim Keselamatan Sosial Bukan Bencana Kerja – Lindung 24 Jam.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan, Wan Izani Wan Isa berkata, itu antara kes menarik yang diluluskan pihaknya melibatkan seorang pemandu lori, Muhd. Firdhaus Mustapha yang terjatuh ketika memotong dahan pokok di rumahnya di Kuala Krai pada 20 Jun lalu.

Katanya, ketika kejadian, Muhd. Firdhaus baru pulang daripada bekerja sebelum memanjat sebatang pokok untuk memotong dahan yang sudah mencecah bumbung rumah.

“Tanpa disangka dahan dipotong terpelanting ke arahnya menyebabkan dia hilang imbangan lalu terjatuh.

“Dia disahkan mengalami keretakan tulang pada bahagian punggung oleh doktor dan diberi cuti sakit selama 12 hari,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sesi Libat Urus dan Jaringan Mesra Perkeso Bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim di sebuah hotel, di sini, semalam.

Wan Izani memberitahu, tuntutan Muhd. Firdhaus telah diproses dan diluluskan, manakala bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara disalurkan bagi tempoh cuti sakit tersebut.

Menurutnya, kes berkenaan membuktikan kepentingan Lindung 24 Jam dalam memberikan perlindungan kepada pencarum ketika berdepan kemalangan di luar waktu kerja, termasuk kejadian yang tidak mempunyai kaitan dengan tugas hakiki.

“Kes seperti itu kita terima dan luluskan apabila diperakui dengan bukti siasatan perubatan. Begitu juga kes-kes kecederaan luar waktu kerja akibat langgar haiwan liar seperti biawak, anjing dan sebagainya,” ujarnya.

Wan Izani berkata, jenis kes yang dilindungi skim tersebut berbeza mengikut situasi di negeri masing-masing dan Lindung 24 Jam boleh dianggap sebagai pelengkap kepada skim-skim yang ditawarkan Perkeso, sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pilihan untuk keluar daripada skim Lindung 24 Jam ditutup mulai 31 Ogos lalu, namun pencarum yang telah memilih untuk keluar diberi peluang menyertainya kembali pada bila-bila masa.

“Lebih kurang 1.2 juta pencarum di seluruh negara telah mengambil pilihan keluar daripada Lindung 24 Jam, tetapi selepas diberikan penerangan secara jelas, kira-kira 10,000 memilih untuk menyertainya kembali.

“Di Kelantan, majoriti pencarum memilih untuk kekal dalam Lindung 24 Jam dan bermula Jun sehingga awal September, berlaku peningkatan kes sebanyak tiga kali ganda dengan 140 kes telah dibuat pembayaran pampasan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

The post Jatuh pokok pun boleh tuntut Lindung 24 Jam appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved