Jumpa RM50 di lantai, rupanya itu ‘perangkap’ scammer

23 Oct 2026 • 2:17 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jumpa RM50 di lantai, rupanya itu ‘perangkap’ scammer

PETALING JAYA – Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati sekiranya menemui wang tunai terbiar di tempat awam susulan dakwaan satu taktik mencurigakan menggunakan wang kertas RM50 yang berlaku di sebuah pusat beli-belah di Bukit Jalil.

Menerusi perkongsian pengguna Threads, @siangghwaa, ibu bapa rakannya didakwa berdepan kejadian itu kira-kira pukul 3 hingga 4 petang di tingkat lima pusat beli-belah tersebut.

Menurutnya, pasangan berkenaan pada mulanya menemui sekeping wang kertas RM50 di atas lantai tanpa melihat sesiapa berada berhampiran kawasan tersebut.

Bagaimanapun, selepas wang itu dikutip, mereka didakwa didatangi tiga lelaki dan seorang wanita yang menuduh mereka mencuri wang berkenaan selain mendakwa mempunyai rakaman video sebagai bukti.

“Walaupun bapa rakan saya sudah memulangkan wang itu, mereka didakwa terus berdepan dengannya dan seolah-olah meminta pampasan tambahan,” katanya dalam hantaran tersebut.

Menurut pengguna itu, kumpulan terbabit juga dilaporkan masih berkeliaran di sekitar pusat beli-belah berkenaan selepas kejadian.

“Harap semua berhati-hati. Jika nampak wang terbiar, jangan terburu-buru mengutipnya. Kami tidak mengatakan kami tahu dengan tepat apa yang berlaku, tetapi keadaan ini cukup mencurigakan untuk semua orang lebih berwaspada.

“Mereka mungkin menyasarkan mangsa yang mudah terdedah. Ibu bapa rakan saya sudah berusia dan ibunya trauma sehingga menggigil ketakutan selepas kejadian itu,” katanya.

Perkongsian tersebut kemudian mendapat perhatian ramai apabila seorang lagi pengguna mendakwa menemui wang kertas di atas lantai kawasan parkir C, Aras 1M di pusat beli-belah sama.

“Kami baru sahaja pergi ke pusat beli-belah tersebut dan lihat apa yang kami jumpa. Nasib baik nampak hantaran ini terlebih dahulu. Hati-hati semua, mereka masih melakukan taktik ini,” dakwanya.

Seorang lagi pengguna Threads turut tampil mendakwa pernah melihat situasi hampir sama berlaku di tingkat bawah pusat beli-belah tersebut beberapa bulan lalu.

“Perkara ini sebenarnya berlaku betul-betul di depan mata saya. Ada wang RM50 di atas lantai dan saya kebetulan berjalan melintasinya.

“Ketika itu saya bersama anak, jadi perhatian saya lebih tertumpu kepadanya. Selepas saya berjalan melepasi wang RM50 itu, seorang wanita dengan pantas mengambilnya. Saya tidak menghiraukannya kerana menyangka mungkin wang itu miliknya. Kejadian itu berlaku beberapa bulan lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Jumpa RM50 di lantai, rupanya itu ‘perangkap’ scammer appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved