
Kota Kinabalu: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dikenakan satu sebatan kerana mengambil syabu secara berulang.
Samsul Kassan mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus, atas pertuduhan terhadapnya.
Dia ditahan pada 24 Jan tahun ini selepas air kencingnya didapati positif dadah di balai polis di sini.
Samsul mempunyai beberapa rekod sabitan kerana mengambil dadah itu.
Kesalahan mengikut Seksyen 39C (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu memperuntukkan hukuman penjara antara lima dan tujuh tahun, dan sebatan,, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Samsul menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap.
Selepas menamatkan hukuman penjaranya, Samsul diperintah untuk diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun.
Sementara itu, seorang wanita dan seorang lelaki dipenjara kerana memasuki negeri ini secara haram.
Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz menjatuhkan hukuman itu kepada Roy Kin Olah dan Nursita Nulhasan yang mengaku secara berasingan kepada pertuduhan terhadap mereka.
Roy dipenjara empat bulan manakala Nursita dijatuhi hukuman penjara 14 hari.
Mereka ditahan pada 10 Mac tahun ini di kawasan bandar itu selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri kepada polis.
Selepas menjalani hukuman penjara, mereka diperintah rujuk ke Jabatan Imigresen untuk pengambilan rekod data biometrik sebelum dihantar pulang.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

