Jurulatih angkat berat negara meninggal dunia di Thailand

27 Nov 2026 • 3:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jurulatih angkat berat negara meninggal dunia di Thailand
Jurulatih angkat berat kebangsaan, Sakchai Titajaree meninggal dunia di Thailand. Facebook Ayub

SUKAN angkat berat negara menerima khabar duka selepas jurulatih kebangsaan, Sakchai Titajaree meninggal dunia di Thailand.

Pemergian jurulatih berpengalaman dari Thailand itu disahkan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat menerusi kenyataan takziah yang dikeluarkan pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu, Sakchai meninggal dunia di hotel penginapannya ketika menjalankan tanggungjawab membimbing Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin yang menjalani latihan di Sekolah Sukan Chonburi, Thailand.

Kedua-dua atlet berkenaan sedang membuat persiapan menghadapi kejohanan kelayakan Sukan Olimpik yang dijadual berlangsung di Doha dari 4 hingga 11 Disember ini.

Ayub menyifatkan pemergian Sakchai sebagai kehilangan besar kepada arena angkat berat Malaysia, Thailand dan komuniti sukan antarabangsa.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas segala jasa, kepakaran dan pengorbanan mendiang sepanjang membimbing atlet negara.

“Mendiang merupakan seorang jurulatih yang berpengalaman, berkaliber dan disegani dalam arena sukan angkat berat antarabangsa.

“Dedikasi, kepakaran, pengorbanan dan komitmen mendiang dalam membimbing atlet negara sehingga ke akhir hayat membuktikan betapa besarnya kecintaan beliau terhadap sukan angkat berat,” menurut kenyataan itu.

Sepanjang kerjayanya, Sakchai pernah membimbing skuad angkat berat kebangsaan Thailand, termasuk ketika Sukan Asia Hangzhou 2023 dan Kejohanan Angkat Berat Asia 2023.

Beliau juga pernah menjadi jurulatih kepada atlet angkat berat Olimpik Thailand, Duangaksorn Chaidee, selain menerima Anugerah Jurulatih Sukan Amatur Terbaik Thailand 2025 yang disampaikan pada 4 Jun 2026.

Sakchai menyertai Program Road to Gold (RTG) Malaysia bagi membantu memperkukuh persiapan atlet negara dalam misi memburu kelayakan ke Sukan Olimpik.

PABM turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang, sahabat handai, Persatuan Angkat Berat Amatur Thailand (TAWA) serta seluruh komuniti sukan angkat berat antarabangsa.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved