Jurulatih baharu bulan ini atau Jun - Ballard

5 May 2025 • 6:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ballard. Foto Bernama.

OLAHRAGA Malaysia (MA) menjangkakan ketibaan enam jurulatih baharu pada Mei atau Jun dengan beberapa orang jurulatih tempatan berkemungkinan memulakan tugas pada hujung bulan ini.

Mereka sudah dimaklumkan dan langkah seterusnya ialah memuktamadkan kontrak, kata Pengarah Teknikal MA, Robert Ballard yang menambah kesatuan itu sentiasa berhubung dengan Majlis Sukan Negara (MSN) sejak tahun lepas untuk menyelesaikan perkara ini.

Beliau juga berharap pelantikan berkenaan dapat dibuat segera kerana permintaan untuk mendapatkan jurulatih baharu itu telah dikemukakan beberapa bulan sebelum ini dan bukannya sejak minggu lepas.

"Kami juga membuat susulan pada Oktober, November, Disember (tahun lepas) dan beberapa minggu kebelakangan ini dengan MSN, tetapi kelewatan tidak dapat dielakkan apabila melibatkan pembiayaan, visa dan hakikat bahawa beberapa orang jurulatih antarabangsa masih terikat dengan pekerjaan di tempat lain. Ia mengambil masa.

"Kami berharap (pelantikan) pada Mei atau Jun. Ada kemungkinan sebahagian daripada mereka akan tiba menjelang hujung bulan ini kerana ada beberapa orang jurulatih tempatan dalam kalangan enam jurulatih baharu itu," katanya ketika ditemui pada Kejohanan Olahraga Super Series Kuala Lumpur di Stadium Merdeka pada Ahad.

Ballard berkata, pelantikan itu penting untuk pelan jangka panjang MA dalam mengembangkan program kebangsaan kepada lebih 100 atlet bukan sahaja di Kuala Lumpur, tetapi juga di seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

"Kami perlu perluas capaian dan sekiranya kami dapat jurulatih baharu, kami akan mempunyai kemampuan dari segi masa dan tenaga untuk menyusun program ini dan membantu jurulatih negeri dengan atlet mereka yang berada dalam program kebangsaan.

"Diharapkan, ia dapat membantu jurulatih menerusi bengkel-bengkel dan membangunkan atlet muda yang berpotensi untuk maju," katanya. - Bernama.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved