
KAJANG – Seorang juruteknik hospital maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta di Jalan Timur, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 6.30 petang.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa merupakan wanita tempatan berusia 35 tahun yang bekerja sebagai juruteknik hospital.
“Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Hospital Kajang menuju ke sebuah sekolah di Sungai Kantan.
“Setibanya di lokasi, mangsa menunggang motosikal di lorong kiri manakala sebuah kereta dipandu suri rumah berusia 45 tahun berada di lorong kanan dalam arah sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Naazron, kemalangan berlaku apabila kereta tersebut memasuki simpang di sebelah kiri sebelum motosikal ditunggang mangsa gagal mengelak lalu melanggar bahagian kiri kenderaan berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, polis kini mengesan saksi yang berada di lokasi kejadian selain individu yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut.
“Orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam), video atau rakaman kamera kenderaan khususnya yang melalui lokasi kejadian sekitar waktu kemalangan diminta tampil membantu siasatan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502. – KOSMO! ONLINE
The post Juruteknik hospital maut motosikal rempuh kereta masuk simpang appeared first on Kosmo Digital.






