TAWAU - Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori di Jalan Timur, di sini, pada petang Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa yang bekerja sebagai kelindan lori berusia 43 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan membabitkan sebuah lori rigid dan motosikal.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipandu lelaki tempatan berusia 62 tahun yang sedang dalam perjalanan dari arah Air Panas menuju ke Eastern Engineering, Jalan Timur.
"Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal datang dari arah bertentangan sebelum dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan lori berkenaan.
"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Rosdi berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tawau untuk tindakan lanjut. "Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.





