
KUALA KRAI – Kegembiraan lima sekawan mandi-manda di kawasan Sungai Kelantan bertukar tragedi apabila dua daripada mereka dikhuatiri lemas dalam kejadian di Kampung Batu Mengkebang di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, kedua-dua mangsa, Mohd. Rayyan Hakimi dan Luth Naiman Mohd. Noraziron yang masing-masing berusia 14 tahun dipercayai lemas di sungai tersebut.
Seorang penduduk, Muhammad Bukhari Mohd. Zawawi, 38, berkata, bapa sepupunya, Zaidin Musa, 49, dikejutkan dengan kehadiran tiga remaja yang meminta pertolongan selepas dua rakan mereka lemas di sungai berkenaan.
Katanya, kejadian berlaku ketika hujan lebat melanda kawasan tersebut petang tadi.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Muhammad Aiman Aminuddin berkata, seramai tujuh anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6.39 petang.
Menurutnya, operasi mencari kedua-dua mangsa ditangguhkan susulan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan dan akan disambung semula esok. – KOSMO! ONLINE
The post Dua sekawan dikhuatiri lemas ketika mandi Sungai Kelantan appeared first on Kosmo Digital.






