DUNGUN - Seorang juruteknik maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta yang hilang kawalan di Kilometer 70 Jalan Jerangau-Jabor di Bukit Besi di sini pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Nik Ab Halim Nik Mat berkata, dalam kejadian pada jam 7.30 pagi itu, mangsa, Mohd Yusop Abu Bakar, 34, yang bekerja di sebuah kilang di Bukit Besi menunggang motosikal jenis Honda AFS110 dari arah Dungun menghala ke Jerangau.
"Siasatan awal mendapati, ketika tiba di lokasi kejadian sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 42 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan dan melanggar bahagian hadapan motosikal mangsa.
"Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, keadaan jalan ketika kejadian basah selepas hujan manakala cuaca baik dan trafik tidak sibuk.
Nik Ab Halim berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan. - Bernama






