
DUNGUN – Seorang juruteknik maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta Perodua Myvi di di Kilometer 70, Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran Pusat Koreksional Bukit Besi, di sini, hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 7.30 pagi itu, mangsa, Mohd. Yusop Abu Bakar, 34, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, sewaktu kejadian, Mohd. Yusop
dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Wa Baru, di sini, dari tempat kerjanya di tempat kerjanya di Bukit Besi.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Honda Waze AFS110 ditunggangi mangsa dirempuh sebuah kereta Perodua Myvi yang dikatakan hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.
“Kereta tersebut dipandu lelaki berusia 42 tahun dikatanya dalam perjalanan ke pusat bandar Dungun dari Jerangau, di sini,” katanya, di sini hari ini.
Nik Ab. Halim berkata, impak pelanggaran tersebut menyebabkan Mohd. Yusop terjatuh dari motosikal.
Beliau berkata, pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Pemandu kereta Perodua Myvi pula mengalami kecederaan ringan pada bahagian muka,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Juruteknik maut dilanggar Perodua Myvi appeared first on Kosmo Online.






