
PUTRAJAYA: Bakat jurutera tempatan berpotensi untuk memperoleh gaji permulaan antara RM5,000 hingga RM5,500 selepas menjalani Arm On-Demand Training, sekali gus menunjukkan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam industri semikonduktor semakin berkembang.
Menteri Ekonomi berkata, anggaran itu berdasarkan peserta yang mengikuti program Arm secara bersepadu dengan kursus tambahan di bawah Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) menerusi Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec).
“Untuk ketika ini secara rawaknya, sebab kita juga ada kursus yang dijalankan secara bersepadu dengan ASEM di bawah Sidec di Selangor, yang mana baru-baru ini bila saya memberi serahan kepada mereka yang menamatkan kursus yang bersepadu, maksudnya ada yang ikuti program ARM tapi juga ada kursus-kursus tambahan di peringkat Sidec, memang ada yang menerima gaji permulaan sekitar RM5,000 ke RM5,500,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata demikian menerusi sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi dan Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada Entiti Diluluskan di bawah Kerjasama Strategik Antara Kerajaan Malaysia dan Arm Limited dalam Industri Semikonduktor di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pengalaman selepas mengikuti latihan berkenaan turut membuka ruang kepada bakat terbabit untuk menikmati peningkatan pendapatan.
“Tapi itu juga memberi gambaran bahawa pengalaman selepas dua tiga tahun, gaji mereka boleh naik sehingga mencecah RM8,000 ke RM9,000. Jadi keperluan itu memang ada, peluang itu ada juga, cuma kemahiran inilah yang kita nak terapkan di kalangan para graduan mahupun mereka yang telah berada dalam industri tetapi nak berpindah ataupun pengkhususan kepada reka cipta cip,” ujarnya.
Katanya lagi, di peringkat Arm, kursus atau pendedahan yang ditawarkan adalah selama 200 jam secara dalam talian, selain memberi pendedahan awal kepada peserta mengenai sistem berkenaan sebelum menyertai syarikat yang menggunakan teknologi sama.
“Pada masa sama, pengenalan kepada sistem berkenaan membolehkan mereka yang juga dah ada pendedahan lebih awal sebelum menyertai mana-mana syarikat yang menggunakan teknologi sama,” katanya. – UTUSAN
The post Jurutera tempatan sertai Arm On-Demand Training berpotensi raih gaji permulaan sekitar RM5,000 appeared first on Utusan Malaysia.



