
PUTRAJAYA: Sekurang-kurangnya 5,000 bakat jurutera tempatan disasar mengikuti program Arm On-Demand Training menjelang akhir 2027, sebagai sebahagian daripada sasaran 10,000 bakat dalam tempoh empat tahun.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sasaran itu perlu dicapai bagi memastikan momentum pelaksanaan program berkenaan selari dengan komitmen yang diberikan kepada syarikat-syarikat terpilih.
“Jadi untuk peringkat Kementerian Ekonomi, saya nak meletakkan sasaran sebab ia bermula 2025, 2026, selepas itu 2027. Jadi penghujung 2027 kita kena capai sekurang-kurangnya 5,000 peserta. Kalau tidak, momentum itu akan tidak selari dengan komitmen token yang sedang diberikan kepada syarikat-syarikat terpilih.
“Malah mereka yang telah ada pendedahan kepada latihan Arm On-Demand ini diminta diberi kelebihan untuk melakukan latihan industri oleh syarikat-syarikat yang telah menerima token AFA (Arm Flexible Access) ini supaya bakat ini tidak disunting oleh negara lain,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi dan Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada Entiti Diluluskan di bawah Kerjasama Strategik Antara Kerajaan Malaysia dan Arm Limited dalam Industri Semikonduktor di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, beliau menyerahkan surat tawaran kepada Oppstar Technology Sdn. Bhd. dan Alphaswift Industries Sdn. Bhd. bagi memperoleh akses kepada teknologi Arm Compute Subsystem (CSS) dan program Arm Flexible Access (AFA).
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, bagi memperkukuh saluran bakat, persetujuan bersama 12 universiti dengan sokongan kementerian, agensi dan industri telah dicapai untuk menyokong pelaksanaan program Arm On-Demand Training secara lebih tersusun.
“Sinergi antara universiti dan industri penting supaya latihan yang disediakan benar-benar sepadan dengan keperluan syarikat. Ini termasuk penyelarasan kalendar akademik, pengintegrasian modul Arm dalam pembelajaran serta pengiktirafannya sebagai sebahagian daripada latihan industri.
“Kita perlu beralih daripada mengejar kekurangan bakat kepada membina saluran bakat yang tersusun. Bakat mesti dibina sebelum permintaan industri menjadi kritikal. Kementerian Ekonomi, MITI (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri) dan KPT (Kementerian Pendidikan Tinggi) akan bekerjasama dalam memastikan pelaksanaan ini disusul dengan kemas supaya sasaran yang telah ditetapkan dapat dicapai,” ujarnya.
Katanya lagi, akses kepada teknologi pengkomputeran Arm ini membolehkan syarikat tempatan mempercepat aktiviti reka bentuk litar bersepadu, penyelidikan dan pembangunan di Malaysia, termasuk dron dan mikroelektronik termaju.
“Setakat ini, lapan akses teknologi Arm melibatkan empat Arm CSS dan empat token Arm Flexible Access telah ditawarkan kepada lima syarikat tempatan. Dalam pembangunan bakat pula, 1,530 peserta telah mengikuti program Arm On-Demand Training daripada sasaran 10,000 bakat dalam tempoh empat tahun.
“Kita mahu akses teknologi global ini pemangkin kepada lebih banyak reka bentuk cip, harta intelek dan produk bernilai tinggi yang dibangunkan di Malaysia. Ini adalah asas untuk melahirkan syarikat dan jurutera tempatan yang mampu membawa produk cip tempatan ke pasaran global,” ujarnya. – UTUSAN
The post Arm On-Demand Training dijangka latih 5,000 bakat jurutera menjelang 2027 appeared first on Utusan Malaysia.





