
PUTRAJAYA – Sekurang-kurangnya 5,000 bakat jurutera tempatan disasar mengikuti program Arm On-Demand Training menjelang akhir 2027 yang merupakan sebahagian daripada sasaran 10,000 bakat dalam tempoh empat tahun.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, sasaran itu perlu dicapai bagi memastikan momentum pelaksanaan program berkenaan selari dengan komitmen yang diberikan kepada syarikat-syarikat terpilih.
“Jadi, untuk peringkat Kementerian Ekonomi, saya nak meletakkan sasaran sebab ia bermula 2025, 2026, selepas itu 2027. Penghujung 2027 kita kena capai sekurang-kurangnya 5,000 peserta. Kalau tidak, momentum itu akan tidak selari dengan komitmen token yang diberikan kepada syarikat-syarikat terpilih.
“Malah kita juga bersetuju mereka yang telah ada pendedahan kepada latihan Arm On-Demand ini, kita akan minta syarikat-syarikat yang telah menerima token AFA (Arm Flexible Access) untuk memberi kelebihan kepada peserta,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi dan Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada Entiti Diluluskan di bawah Kerjasama Strategik Antara Kerajaan Malaysia dan Arm Limited dalam Industri Semikonduktor di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, beliau menyerahkan surat tawaran kepada Oppstar Technology Sdn. Bhd. dan Alphaswift Industries Sdn. Bhd. bagi memperoleh akses kepada teknologi Arm Compute Subsystem (CSS) dan program Arm Flexible Access (AFA).
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, bagi memperkukuh saluran bakat, persetujuan bersama 12 universiti dengan sokongan kementerian, agensi dan industri telah dicapai untuk menyokong pelaksanaan program Arm On-Demand Training secara lebih tersusun.
Dalam pembangunan bakat pula, 1,530 peserta telah mengikuti program Arm On-Demand Training daripada sasaran 10,000 bakat dalam tempoh empat tahun,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Sasar 5,000 jurutera ikuti Arm On-Demand Training menjelang 2027 appeared first on Kosmo Digital.





