KUALA LUMPUR - Siasatan kes dadah terhadap juruterbang rakyat Malaysia yang ditahan di Jakarta, Indonesia mendedahkan taktiknya melepasi pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya kini menjejaki ahli sindiket dadah yang dipercayai terbabit di negara ini.
Menurutnya, soal siasat selama dua hari turut mendapat maklumat membabitkan sindiket yang terbabit di Malaysia dan luar negara yang berkaitan selain pembabitan penama dalam rangkaian sindiket dadah dalam dan luar negara
"Selain itu, pertemuan itu juga sangat membantu memberi maklumat kepada pihaknya dalam beberapa aspek termasuk iaitu menjejaki ahli sindiket yang terbabit di negara ini.
"Selain itu, JSJN juga mendapat tahu bagaimana suspek dapat melepasi pemeriksaan di KLIA selain mengetahui aliran kewangan sindiket dadah dalam dan luar negara," katanya pada Jumaat.
Beliau berkata, JSJN mendapat kerjasama yang sangat baik daripada Polis Negara Republik Indonesia (POLRI) bagi menjalankan soal siasat terhadap suspek.
Katanya, perjumpaan pada 12 dan 13 Ogos itu berjalan dengan baik, malah pihak POLRI juga memberi ruang kepada JSJN untuk menambah sehari lagi iaitu dilanjutkan sehingga 14 Ogos (Jumaat).
"Suspek juga memberi kerjasama yang baik," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, JSJN Bukit Aman akan menghantar pasukan pegawai penyiasat ke Jakarta, Indonesia bagi membantu siasatan kes penyeludupan dadah membabitkan seorang juruterbang warga Malaysia.
Lelaki berusia 39 tahun itu dilaporkan menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH727 dari Kuala Lumpur ke Jakarta sebelum ditahan di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.
Suspek ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas dipercayai cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram dadah ke negara berkenaan pada 28 Julai lalu.






