Seorang juruterbang Malaysia Airlines ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki cuba menyeludup dadah ke negara itu. Suspek yang berusia 39 tahun diberkas di Lapangan Terbang Soekarno Hatta sebaik tiba dari Kuala Lumpur.
Lebih mengejutkan, pemeriksaan ke atas bagasi suspek menemui puluhan ribu kapsul dipercayai mengandungi dadah jenis ecstasy dan methamphetamine dengan nilai pasaran dianggarkan mencecah RM45 juta.
Ditahan selepas bagasi dikesan mencurigakan

Menurut Pengarah Pencegahan Jenayah Narkotik Polis Republik Indonesia, Brigadier Jeneral Eko Hadi Sontoso, suspek ditahan di pintu masuk Terminal 3 Lapangan Terbang Soekarno Hatta pada Selasa lalu.
Pemeriksaan dilakukan selepas petugas Bahagian Kastam dan Cukai mengesan objek mencurigakan menerusi mesin pengimbas bagasi milik suspek. Hasil pemeriksaan menemukan 15 paket besar mengandungi 70,114 kapsul ecstasy dan methamphetamine dengan berat keseluruhan 25 kilogram.
Berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai menerima bayaran sebanyak RM50,000 bagi membawa dadah berkenaan dari Kuala Lumpur ke Indonesia, melalui Jakarta.
Bekalan dadah berkenaan dikirimkan oleh seseorang individu di Malaysia sebelum diambil oleh seorang lagi individu lain di hotel penginapan suspek di Jakarta.- Katanya.
Dakwa sudah tiga kali bawa bekalan dadah

Menurut Eko Hadi, siasatan masih diteruskan bagi mengesan individu yang dipercayai terlibat di Malaysia serta rangkaian mereka di Indonesia berdasarkan keterangan suspek.
Siasatan juga mendapati, suspek yang turut didapati positif dadah turut mengakui bahawa ini adalah kali ketiga dia membawa bekalan dadah.
Kali pertama, suspek menyeludup dadah ke Sabah dan kali kedua dia dilaporkan menyeludup tujuh kg dadah methamphetamine ke Jakarta.,- Katanya.
Pihak POLRI turut tidak menolak kemungkinan kegiatan itu melibatkan sindiket pengedaran dadah antarabangsa. Suspek kini ditahan di Pusat Tahanan POLRI dan berdepan pertuduhan berkaitan membawa, mengimport, menjadi orang tengah serta berkomplot mengedar dadah dalam kuantiti besar.
The post Juruterbang Malaysia Airlines Kantoi Seludup Dadah Bernilai RM45 Juta Ke Indonesia appeared first on Oh! Media.




