
LUMUT – Percubaan menyeludup 41 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak selepas sebuah vesel nelayan asing yang bertindak agresif ditahan perairan Teluk Senangin berhampiran Batu Malang di sini awal pagi tadi.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, operasi bermula hasil maklumat awam yang diterima melalui talian kecemasan 999 pada pukul 12.40 tengah malam sebelum bot ronda APMM diatur gerak ke lokasi bagi memintas vesel berkenaan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut membawa 41 PATI warga Indonesia, terdiri daripada 29 lelaki dan 12 wanita berusia antara 21 hingga 57 tahun yang disyaki memasuki negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan.
“Semasa operasi dijalankan, tekong vesel bertindak agresif dengan cuba melarikan diri serta melakukan beberapa pergerakan berbahaya bagi mengelakkan daripada ditahan.
“Vesel tersebut turut merempuh bot ronda APMM sebanyak empat kali sehingga mengancam keselamatan anggota yang sedang melaksanakan tugas penguatkuasaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, bagi memastikan keselamatan anggota serta menghalang vesel tersebut daripada meloloskan diri, sebuah kapal ronda APMM telah diatur gerak sebagai aset sokongan.
Beliau berkata, hasil tindakan pantas, profesional dan terkawal oleh anggota APMM, vesel berkenaan berjaya dipintas, disekat dan ditahan sepenuhnya pada pukul 3.35 pagi.
“Tiada kecederaan dilaporkan membabitkan anggota APMM sepanjang operasi.
“Vesel bersama kesemua tahanan kemudiannya diiring ke Jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kampung Acheh sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Negeri Perak untuk tindakan lanjut,” katanya.
Mohamad Shukri berkata, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007) kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran. – KOSMO! ONLINE
The post Penyeludup rempuh bot APMM, 41 PATI Indonesia ditahan appeared first on Kosmo Digital.






