Juruterbang Malaysia Ditahan: CAAM Siasat Pematuhan Keselamatan Penerbangan

2 Aug 2026 • 2:02 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Juruterbang Malaysia Ditahan: CAAM Siasat Pematuhan Keselamatan Penerbangan

KUALA LUMPUR - Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sedang menjalankan siasatan bagi memastikan semua prosedur keselamatan penerbangan dipatuhi, susulan penahanan seorang juruterbang Malaysia Airlines oleh pihak berkuasa Indonesia atas dakwaan terlibat dalam penyeludupan dadah.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, insiden yang kini disiasat oleh pihak berkuasa Indonesia itu turut akan dinilai dari sudut kawal selia penerbangan, termasuk tahap pematuhan syarikat penerbangan terhadap keperluan keselamatan, serta keberkesanan prosedur pemeriksaan di lapangan terbang, sebelum juruterbang berkenaan berlepas dari Malaysia.

Menurut beliau, semua individu yang memasuki Kawasan Keselamatan Terhad (Security Restricted Areas) diwajibkan menjalani pemeriksaan keselamatan sebelum diberikan akses, termasuk kru penerbangan.

“Tiada pengecualian umum diberikan terhadap keperluan pemeriksaan keselamatan ini,” katanya seperti dipetik New Straits Times.

Norazman menjelaskan, semua penumpang dan kru penerbangan, termasuk bagasi kabin serta barangan peribadi mereka, tertakluk kepada prosedur pemeriksaan keselamatan yang sama sebelum memasuki kawasan terhad lapangan terbang.

Proses pemeriksaan itu katanya, dilaksanakan pengendali lapangan terbang bersama petugas keselamatan mengikut peruntukan Peraturan Keselamatan Penerbangan Awam 2019 serta Program Keselamatan Penerbangan Awam Nasional, sebelum kru dibenarkan memasuki kawasan operasi udara (airside) atau kawasan terkawal lain.

Mengulas persoalan bagaimana jumlah dadah yang besar boleh terlepas daripada pemeriksaan keselamatan, Norazman berkata perkara itu masih dalam siasatan dan CAAM sedang mengumpulkan semua maklumat berkaitan.

Minggu lalu, pihak berkuasa Indonesia mengumumkan penahanan seorang juruterbang Malaysia Airlines berusia 39 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, selepas menemui 25 kilogram pil ekstasi dan methamphetamine yang disembunyikan dalam bagasinya.

Rampasan tersebut melibatkan lebih 70,000 kapsul dengan anggaran nilai pasaran gelap sekitar RM45 juta di Indonesia.

Ujian air kencing terhadap juruterbang terbabit didakwa mengesan kehadiran methamphetamine, MDMA dan kokain.

Penyiasat Indonesia turut mendakwa juruterbang itu mengaku cubaan berkenaan merupakan kali ketiga dia terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah, termasuk dua cubaan sebelum ini ke Indonesia serta satu cubaan di Malaysia.

Suspek juga didakwa memberitahu penyiasat, dia dijanjikan bayaran sekitar RM50,000 untuk menghantar dadah tersebut dalam kes terbaru itu.

Norazman berkata CAAM akan menentukan sama ada semua keperluan kawal selia dan prosedur keselamatan penerbangan berkaitan telah dipatuhi sebelum juruterbang itu meninggalkan Malaysia.

“CAAM sedang mengumpulkan semua fakta dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya dalam bidang kuasa kami sekiranya berlaku ketidakpatuhan terhadap peraturan penerbangan,” katanya.

Mengulas laporan bahawa juruterbang terbabit didapati positif dadah, Norazman berkata Malaysia telah mempunyai rangka kerja peraturan menyeluruh berkaitan pengurusan alkohol dan dadah bagi petugas industri penerbangan.

Beliau berkata, berdasarkan Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016, kru penerbangan dilarang menjalankan tugas ketika berada di bawah pengaruh alkohol, dadah atau sebarang bahan psikoaktif.

Tambah beliau, setiap pemegang Sijil Pengendali Udara (Air Operator Certificate) di Malaysia juga diwajibkan melaksanakan Program Pengurusan Alkohol dan Dadah yang diluluskan CAAM selaras dengan Arahan Penerbangan Awam 6007. - Getaran, 2 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved