
MOSCOW: Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh manakala 21 lagi cedera selepas sebuah peranti letupan buatan sendiri meletup di sebuah restoran Itali di Moscow, menurut pihak berkuasa keselamatan yang dipetik media kerajaan Russia.
Kejadian berlaku pada kira-kira jam 8 malam waktu tempatan di Dataran Kudrinskaya, berhampiran pusat bandar.
Jawatankuasa AntiPengganas Kebangsaan (NAK) memaklumkan, seorang wanita yang membawa bahan letupan itu cuba memasuki restoran itu.
Namun, dia dihalang oleh seorang pengawal keselamatan.
Peranti tersebut kemudian meletup, mengorbankan wanita terbabit, pengawal keselamatan dan seorang pengunjung restoran.
Restoran yang terletak di salah sebuah bangunan pencakar langit terkenal era bekas pemimpin Kesatuan Soviet, Joseph Stalin di Moscow.
Ketika kejadian, ia sedang menganjurkan sebuah majlis tertutup.
Pihak berkuasa bagaimanapun belum mendedahkan senarai tetamu atau membuat sebarang kenyataan mengenai sasaran sebenar serangan itu.
Saksi di lokasi kejadian mendakwa melihat beberapa mangsa diusung keluar dalam keadaan berlumuran darah sejurus selepas letupan berlaku.
Laporan awal menyebut letupan itu berlaku di bahagian dapur premis tetapi pihak pengurusan restoran kemudiannya mengeluarkan kenyataan mengesahkan terdapat gangguan berlaku di luar premis.
Russia pernah menjadi sasaran beberapa serangan yang disifatkan sebagai serangan pengganas pada masa lalu. – AGENSI
The post Tiga maut letupan bom di restoran Moscow appeared first on Utusan Malaysia.





