K²T jana pendapatan 3,085 ahli Bakat ATM

LocalCooking
21 Oct 2026 • 7:52 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: K²T jana pendapatan 3,085 ahli Bakat ATM

KUALA LUMPUR – Seramai 3,085 ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) dan anak-anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima manfaat Program Kemahiran Keluarga Tentera (K²T) yang membuka peluang menjana pendapatan tambahan menerusi latihan kemahiran praktikal.

Sejak peluncuran K²T oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Julai 2025 sebagai salah satu inisiatif Kementerian Pertahanan melalui Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT), sebanyak 113 kursus telah dan dijadual dilaksanakan sehingga November 2026 menerusi rangkaian Kolej Komuniti di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan LTAT, Datuk Dr Nizar Sudin berkata, program dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti itu bertujuan memperkasa kemahiran, mengembangkan potensi diri serta membuka ruang keusahawanan kepada keluarga warga ATM.

“Bagi suku keempat 2026, sebanyak 36 kursus melibatkan 839 peserta telah dan dijadual dilaksanakan dari Oktober hingga November.

“Ia merangkumi bidang bakeri dan pastri, kuih-muih tradisional, solekan dan penampilan diri, urutan badan serta kraf tangan,” katanya pada Majlis Kursus Asas Masakan Victoria Sandwich Cake dan Brownies Butter Cake di Business Centre Kolej Komuniti Hulu Langat (KKHL), hari ini.

Image from: K²T jana pendapatan 3,085 ahli Bakat ATM
Siti Juana (tiga dari kanan) bersama Nizar (dua dari kanan) dan Sharifah Murshida (dua dari kiri) menghadiri Kursus Penyediaan Victoria Sandwich Cake dan Brownies yang dilaksanakan menerusi Program K²T di KKHL hari ini.

Program itu dihadiri oleh Pengerusi Jemaah Tertinggi Bakat, Puan Seri Siti Juana Md Ibrahim yang disertai 19 ahli Bakat ATM.

Melalui lawatan tersebut, Siti Juana turut menyaksikan proses pembelajaran dan aktiviti amali penyediaan kek oleh para pesera.

Turut hadir Ketua Biro Sosial dan Kebudayaan Bakat Markas ATM, Datin Sharifah Murshida Syed Zain.

Kursus yang berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari itu memberi pendedahan secara langsung kepada peserta mengenai teknik penyediaan kek, sekali gus membolehkan kemahiran berkenaan diaplikasikan dalam kehidupan seharian atau dikembangkan sebagai sumber pendapatan sampingan.

Menurut Nizar, KKHL merupakan antara rakan pelaksana utama K²T yang merekodkan peningkatan penyertaan ahli Bakat daripada 35 peserta pada 2025 kepada 333 peserta pada 2026, iaitu pertambahan seramai 298 peserta.

“Sepanjang 2026, sebanyak 15 kursus disenaraikan melalui KKHL, merangkumi bidang seni kreatif, kulinari, kesihatan dan kecantikan.

“Pelaksanaan kursus ini membuka peluang kepada Ahli Bakat ATM untuk meningkatkan kemahiran, mengasah kreativiti serta meneroka potensi keusahawanan bagi menjana pendapatan sampingan dan meningkatkan kesejahteraan keluarga.

“Melalui latihan berasaskan amali itu, peserta dapat meneroka peluang perniagaan menerusi penghasilan serta penjualan produk seperti kek dan makanan bakeri,” jelasnya.

Tambah beliau, menerusi kursus pendek Pembelajaran Sepanjang Hayat, Yayasan LTAT akan terus memperluas inisiatif K²T bagi menyokong kemandirian ekonomi keluarga ATM, di samping meningkatkan kesejahteraan mereka secara berterusan. – KOSMO! ONLINE

The post K²T jana pendapatan 3,085 ahli Bakat ATM appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved