K9 Perhilitan ‘hidu’ penyeludupan hidupan liar di KLIA

LocalEnvironment
18 Aug 2026 • 8:54 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: K9 Perhilitan ‘hidu’ penyeludupan hidupan liar di KLIA

PETALING JAYA – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia memperkukuh kawalan di pusat logistik Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penggunaan Unit Anjing Pengesan Hidupan Liar (K9) bagi membanteras aktiviti penyeludupan hidupan liar.

Perhilitan berkata, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Kargo KLIA menerusi pemantauan terhadap kargo di pusat berkenaan.

Menurut jabatan itu, operasi yang dijalankan hampir sebulan bermula pertengahan Julai hingga pertengahan Ogos ini mewujudkan kehadiran penguatkuasaan secara menyeluruh di hampir semua pusat logistik utama.

“Mana-mana sindiket yang cuba menjadikan kargo udara sebagai laluan ‘selamat’ menyeludup khazanah alam kini berdepan tindakan tegas agensi penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perhilitan berkata, menerusi Operasi Pematuhan Kargo, Unit K9 digunakan untuk mengesan bau tersembunyi di celah palet kayu serta kotak kargo.

Antara bukti penyeludupan hidupan liar yang boleh dikesan termasuk gading gajah, sisik tenggiling, tulang harimau serta hidupan liar hidup yang disembunyikan di dalam bagasi atau kotak kargo.

“Kehadiran fizikal Unit K9 di laluan utama kargo bukan sahaja berfungsi sebagai alat pengesanan, malah menjadi elemen pencegahan terhadap sindiket penyeludupan antarabangsa.

“Perhilitan bersama AKPS akan terus memperketat kawalan di lokasi panas pintu masuk negara bagi memastikan biodiversiti negara sentiasa terpelihara,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah hidupan liar menerusi talian hotline 1-800-88-5151 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam Perhilitan. – KOSMO! ONLINE

The post K9 Perhilitan ‘hidu’ penyeludupan hidupan liar di KLIA appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved