![Image from: [VIDEO] Anak buaya tular di longkang PD Walk](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/BUAYA-ANAK-BUAYA-1024x768.jpeg)
PORT DICKSON – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan sedang menjalankan siasatan susulan penularan video seekor anak buaya yang ditemui di dalam longkang berhampiran kawasan PD Walk, di sini, semalam.
Pengarahnya, Faizal Izham Pikri berkata, pihaknya akan mengenal pasti lokasi aduan dan menjalankan pemeriksaan bagi mengesan reptilia berkenaan sebelum tindakan tangkapan dilakukan.
“Kita akan kenal pasti lokasi aduan. Tindakan lanjut adalah untuk menyiasat aduan tersebut dan menangkap anak buaya berkenaan sebelum dipindahkan ke lokasi yang bersesuaian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Menurut Faizal, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri atau cuba menangkap sendiri haiwan berkenaan kerana tindakan itu boleh mengundang risiko keselamatan, sebaliknya segera melaporkan kepada pihak Perhilitan bagi tindakan selanjutnya.
Sementara itu, penularan video berdurasi 10 saat berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang bimbang dengan kehadiran reptilia berkenaan di kawasan tumpuan orang ramai.
Antara komen yang ditinggalkan termasuk “Hati-hati, jangan main dekat longkang”, manakala seorang lagi netizen berseloroh mengenai keadaan kawasan tersebut yang dikatakan mula menjadi tumpuan ‘pencinta empat kaki’. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Anak buaya tular di longkang PD Walk appeared first on Kosmo Digital.




