
PETALING JAYA: Skuad Anjing Pengesan Hidupan Liar (K9) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) antara yang dilibatkan dalam usaha mengesan dan membanteras kegiatan penyeludupan hidupan liar di pusat logistik Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Perhilitan dalam satu kenyataan berkata, Unit K9 bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Kargo KLIA telah melaksanakan tindakan penguatkuasaan menerusi pemantauan terhadap kargo di pusat kargo KLIA.
“Operasi pematuhan kargo yang dilaksanakan hampir sebulan bermula pertengahan Julai hingga pertengahan Ogos 2026 itu meliputi hampir semua pusat logistik utama.
“Mana-mana sindiket yang cuba menjadikan kargo udara sebagai laluan selamat untuk menyeludup khazanah alam kini berdepan tindakan tegas agensi penguatkuasaan,” katanya hari ini.
Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan turut memperlihatkan keupayaan skuad K9 Perhilitan dalam mengesan bau bahan atau hidupan liar yang disembunyikan di dalam kargo.
“Anjing pengesan berkenaan digunakan untuk memeriksa setiap bahagian kargo termasuk celahan palet kayu dan kotak bagi mengesan bahan bukti penyeludupan hidupan liar.
“Antara yang menjadi sasaran pengesanan termasuk gading gajah, sisik tenggiling, tulang harimau serta hidupan liar hidup yang dipercayai cuba diseludup menggunakan bagasi dan kotak kargo,” katanya.
Perhilitan memaklumkan, kehadiran fizikal Unit K9 di laluan utama kargo bukan sahaja berperanan sebagai alat pengesanan, malah menjadi elemen pencegahan terhadap kegiatan penyeludupan hidupan liar antarabangsa.
“Perhilitan bersama AKPS akan terus memperketat kawalan di titik-titik panas pintu masuk negara secara berterusan bagi memastikan biodiversiti negara sentiasa terpelihara,” jelasnya. – UTUSAN
The post Perhilitan libatkan K9 di KLIA kesan hidupan liar appeared first on Utusan Malaysia.



![[VIDEO] Anak buaya tular di longkang PD Walk](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/BUAYA-ANAK-BUAYA-1024x768.jpeg)
