Kabel rosak punca gangguan elektrik dewan bedah hospital – JKNS

20 Nov 2026 • 1:35 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kabel rosak punca gangguan elektrik dewan bedah hospital – JKNS

KOTA KINABALU: Gangguan bekalan elektrik di dewan bedah sebuah hospital di Sabah ketika rawatan pesakit sebelum ini berpunca daripada kerosakan kabel penyambung yang menjejaskan fungsi Sistem Bekalan Kuasa Tanpa Gangguan (UPS).

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku apabila pemutus litar utama pada Papan Suis Subutama (Sub-Switch Board) di dewan bedah terpelantik, menyebabkan UPS di Dewan Bedah Am tidak berfungsi.

Keadaan itu turut menyebabkan sistem janakuasa (genset) gagal mengambil alih bekalan elektrik secara automatik.

“Semakan lanjut oleh pihak teknikal mendapati masalah berpunca daripada penggunaan kabel penyambung yang sudah rosak dan tindakan pembetulan diambil serta-merta.

“Selaras dengan saranan larangan penggunaan kabel penyambung di seluruh fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), JKNS sudah memastikan perkara ini tidak berulang di mana-mana fasiliti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JKNS berkata, pihaknya memandang serius isu perkhidmatan membabitkan aset kritikal seperti genset, UPS dan sistem penyaman udara yang sudah melepasi jangka hayat penggunaan tetapi masih digunakan.

Sehubungan itu, beberapa projek penggantian UPS sudah dilaksanakan di peringkat hospital bagi memastikan kelancaran operasi serta keselamatan pesakit.

Dalam perkembangan berkaitan, (Kementerian Kesihatan Malaysia) KKM memperuntukkan RM9.4 juta tahun ini bagi menaik taraf kapasiti bekalan air simpanan di 23 hospital di Sabah.

Pelaksanaan projek berkenaan dijangka dapat menangani isu gangguan bekalan air di hospital dengan lebih berkesan.

Selain itu, JKNS sudah mengarahkan syarikat konsesi Perkhidmatan Sokongan Hospital (PSH) meningkatkan kekerapan pemantauan terhadap genset, UPS, panel agihan elektrik serta peralatan perubatan kritikal di dewan bedah.

Katanya, sebarang anomali atau ketidaknormalan sistem perlu direkodkan dan diselesaikan segera bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

JKNS menegaskan komitmennya untuk memastikan kelancaran perkhidmatan kesihatan serta menjamin keselamatan pesakit dan anggota kesihatan yang bertugas. – UTUSAN

The post Kabel rosak punca gangguan elektrik dewan bedah hospital – JKNS appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved