Sabah tetapkan isu bekalan air dan elektrik jadi syarat utama pelaburan pusat data – Hajiji

LocalBusiness & Finance
13 Nov 2026 • 9:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sabah tetapkan isu bekalan air dan elektrik jadi syarat utama pelaburan pusat data – Hajiji Image from: Sabah tetapkan isu bekalan air dan elektrik jadi syarat utama pelaburan pusat data – Hajiji amree13/11/2026 - 09:30 Gambar hiasan Freepik Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Nov — Pelaburan pusat data (DC) kecerdasan buatan (AI) di Sabah tidak boleh mengorbankan keperluan asas rakyat, khususnya bekalan elektrik dan air, meskipun kerajaan negeri terbuka menerima pelaburan teknologi berskala besar.

 

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, setiap cadangan pembangunan DC AI perlu melalui penilaian ketat bagi memastikan kepentingan rakyat, keupayaan infrastruktur asas dan kelestarian alam sekitar di negeri berkenaan terus terpelihara.

 

Beliau menambah, keterbukaan kerajaan negeri terhadap pelaburan serta kerjasama strategik mesti disertai proses penelitian wajar dan keputusan yang bertanggungjawab, terutama bagi projek yang memerlukan penggunaan elektrik dan air dalam jumlah besar.

 

"Penilaian projek berkenaan perlu merangkumi daya maju teknikal dan kewangan, keperluan bekalan elektrik dan air, teknologi penyejukan, aspek perlindungan alam sekitar, isu penggunaan tanah serta kemudahan sambungan rangkaian," tegas beliau.

 

Hajiji menyatakan demikian bersempena dengan majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi cadangan pembangunan DC dijana AI yang pertama seumpamanya di Sabah, membabitkan North AIDC Sdn Bhd bersama beberapa rakan strategik global.

 

Teks ucapan Hajiji pada majlis berkenaan di Kota Kinabalu pada Khamis disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

 

Hajiji_Sabah_Bernama
Gambar BERNAMA

 

Menyentuh mengenai pemeteraian MoU itu, beliau menambah, ia hanya langkah permulaan dan tidak bermaksud projek berkenaan sudah mendapat kelulusan kerajaan negeri, sebaliknya masih tertakluk kepada semua syarat serta keperluan agensi berkaitan.

 

"Pemaju tersebut juga perlu bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan penyedia utiliti bagi memastikan pembangunan DC tidak akan menjejaskan kebolehpercayaan perkhidmatan asas yang diperlukan penduduk setempat sendiri," jelas beliau.

 

Dalam pada itu, Hajiji berkata pembangunan DC berpotensi membuka banyak peluang positif kepada syarikat tempatan dalam sektor kejuruteraan, pembinaan, telekomunikasi, logistik dan perkhidmatan sokongan, khususnya sepanjang fasa pembinaan.

 

Beliau turut menggalakkan pemaju memberi peluang kepada kontraktor tempatan, menjalinkan kerjasama dengan universiti serta institusi teknikal dan memperkenalkan program perantisan bagi membolehkan golongan belia Sabah memperoleh kemahiran dalam sektor teknologi digital.

 

Perkembangan AI dan pengkomputeran awan ujarnya, menawarkan peluang kepada Sabah untuk memperkukuh penyertaan dalam ekonomi digital, namun pembangunan itu perlu diseimbangkan dengan penyelesaian masalah infrastruktur asas yang masih dihadapi sebahagian penduduk.

 

Sehubungan itu, Hajiji merujuk pengalaman Johor dalam usaha pembangunan DC selama ini yang boleh dijadikan sebagai panduan kepada Sabah. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved