
Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga Filipina berusia 43 tahun didenda RM1,500 oleh Mahkamah Sesyen pada Khamis selepas mengaku bersalah mengarahkan seorang individu memasang sambungan elektrik haram terus daripada talian bekalan voltan rendah Sabah Electricity (SE).
Robin Nuning turut membayar individu berkenaan RM50 sebulan bagi membolehkan premisnya menikmati bekalan elektrik secara haram.
Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu selepas Robin mengaku bersalah atas pertuduhan terhadapnya.
Tertuduh yang memegang dokumen IMM13 itu didapati mengambil bekalan elektrik milik SE secara tidak jujur menggunakan sambungan kabel bersama palam soket sambungan enam gang sepanjang kira-kira 14 meter.
Sambungan itu membolehkan bekalan elektrik disalurkan terus dari premis jiran ke rumahnya tanpa melalui meter berdaftar SE sekali gus menyebabkan pihak utiliti mengalami kerugian.
Dia melakukan kesalahan itu pada jam 10.05 pagi, 6 Ogos tahun ini di sebuah rumah setinggan di Kampung Sri Kenangan 2, Jalan Sepanggar.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 61(3)(a) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 61(3)(i) enakmen sama.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda antara RM1,000 hingga RM100,000 atau dipenjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah dimaklumkan bahawa pada hari kejadian, pasukan penguat kuasa Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) bersama juruteknik SE menjalankan Operasi Bersepadu bagi membanteras sambungan elektrik haram di kawasan rumah setinggan berkenaan.
Hasil pemeriksaan fizikal dan ujian teknikal mendapati terdapat sambungan elektrik haram yang disalurkan terus daripada talian bekalan voltan rendah SE melalui soket di premis jiran ke rumah tertuduh tanpa melalui sebarang meter berdaftar.
Bekalan elektrik itu digunakan untuk menghidupkan peralatan rumah termasuk peti sejuk, mesin basuh, televisyen, lampu dan kipas.
Pasukan penguat kuasa turut merampas kabel sepanjang 14 meter yang disambungkan kepada palam soket sambungan enam gang dan digunakan sebagai alat untuk menyalurkan elektrik secara haram ke rumah tertuduh.
Siasatan lanjut mengesahkan Robin mengarahkan seorang individu dikenali sebagai Fairul memasang sambungan berkenaan dan membayarnya RM50 setiap bulan.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Andryero Thomas mengendalikan pendakwaan, manakala Robin tidak diwakili peguam.






