
KOTA KINABALU: Kabel sambungan elektrik yang rosak menyebabkan gangguan bekalan elektrik di sebuah bilik bedah hospital di Sabah ketika seorang pesakit sedang menerima rawatan manakala janakuasa sokongan gagal berfungsi secara automatik.
Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) berkata kabel berkenaan menyebabkan pemutus litar utama pada papan suis kecil bilik bedah terpelantik.
Sistem bekalan kuasa tanpa gangguan (UPS) di bilik bedah itu juga gagal berfungsi manakala janakuasa tidak mengambil alih bekalan elektrik secara automatik.
“Pemeriksaan lanjut oleh pasukan teknikal mendapati masalah berpunca daripada penggunaan kabel sambungan yang rosak. Tindakan pembetulan diambil serta-merta,” menurut JKNS. Insiden itu dibangkitkan di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun JKNS tidak menamakan hospital terbabit atau memaklumkan sama ada gangguan bekalan elektrik itu menjejaskan rawatan pesakit berkenaan.
Jabatan itu telah mengarahkan syarikat konsesi perkhidmatan sokongan hospital supaya menjalankan pemeriksaan lebih kerap terhadap janakuasa, unit UPS, panel pengagihan elektrik dan peralatan perubatan kritikal di bilik bedah. Sebarang kerosakan perlu direkodkan dan dibaiki dengan segera.
JKNS turut membangkitkan kebimbangan berhubung penggunaan janakuasa, unit UPS dan sistem penyaman udara yang masih beroperasi melebihi jangka hayat perkhidmatannya. Menurut jabatan itu beberapa projek penggantian unit UPS telah dilaksanakan di hospital.
Mengenai gangguan bekalan air yang turut dibangkitkan di Parlimen, JKNS berkata Kementerian Kesihatan memperuntukkan RM9.4 juta pada 2026 bagi meningkatkan kapasiti penyimpanan air di 23 hospital kerajaan di Sabah.
Jabatan itu menegaskan komitmennya untuk memastikan perkhidmatan penjagaan kesihatan tidak terganggu serta menjamin keselamatan pesakit dan petugas kesihatan.





![[VIDEO] Pelajar SBP ditemukan maut: Anak tak pernah cerita masalah persekolahan - Bapa](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2026/11/19/3715581.webp)