TNB tanggung kerugian RM62.7 juta akibat 439 kes kecurian kabel di Selangor sejak 2023, kata Exco

LocalPolitics
19 Nov 2026 • 2:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TNB tanggung kerugian RM62.7 juta akibat 439 kes kecurian kabel di Selangor sejak 2023, kata Exco Image from: TNB tanggung kerugian RM62.7 juta akibat 439 kes kecurian kabel di Selangor sejak 2023, kata Exco amree19/11/2026 - 14:50 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov — Kecurian kabel elektrik terus menjadi ancaman besar kepada infrastruktur utiliti apabila Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa menanggung kerugian RM62.7 juta akibat 439 kes kecurian kabel di Selangor sejak 2023 hingga 30 September 2026.

 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, 166 kes dicatatkan sepanjang tahun ini sahaja, dengan Cheras paling tertinggi (45 kes), diikuti Bangi (37 kes), Pelabuhan Klang (24 kes), Banting (12 kes) dan Rawang (10 kes).

 

"Kegiatan jenayah kecurian harta benda tersebut bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan kepada TNB, malah berisiko menjejaskan kebolehpercayaan tahap bekalan tenaga dan mengakibatkan gangguan elektrik kepada pengguna domestik sendiri," tambahnya lagi.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Jefri Mejan (PN-Ijok) berhubung jumlah kes kecurian kabel melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan TNB di Selangor serta kerugian mengikut daerah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di Shah Alam pada Khamis.

 

Selain TNB ujar Izham, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor turut merekodkan sebanyak 38 kes kecurian kabel dan peralatan di beberapa rumah pam serta pintu air antara 2023 hingga 2026, yang membabitkan kerugian mencecah kira-kira RM1.5 juta.

 

Daerah Klang jelas beliau, mencatatkan jumlah kerugian yang paling tinggi iaitu sebanyak RM667,000 menerusi lapan kes, diikuti Kuala Langat dengan kira-kira 17 kes bernilai RM499,000, Kuala Selangor (10 kes, RM318,000) dan Sepang (tiga kes, RM47,000).

 

elektrik_DagangNews2026
Gambar hiasan

 

"Sementara itu, JKR negeri berkenaan turut menanggung kerugian besar yang dianggarkan antara sebanyak RM50,000 hingga mencecah RM100,000 bagi setiap insiden kecurian kabel pada setiap bulan di seluruh sembilan daerah di Selangor," kata beliau lagi.

 

Justeru tambah Izham, bagi membendung kegiatan haram tersebut, kerajaan negeri bersama-sama dengan agensi berkaitan mengambil pelbagai langkah termasuk membuat laporan polis serta meningkatkan rondaan keselamatan di lokasi dikenal pasti sering menjadi sasaran pencuri.

 

Langkah keselamatan fizikal ujar beliau, turut diperkukuhkan menerusi pemasangan pagar antipanjar, kunci tong tambahan dan lampu dijana dengan panel solar di kawasan tiang serta peti pembekal elektrik bagi menyukarkan akses penjenayah untuk cuba menceroboh masuk.

 

Di samping itu, penggunaan lampu jenis ISLED berkuasa solar turut diperluas sebagai alternatif kepada lampu jalan LED yang menggunakan kabel, sekali gus mengurangkan risiko kehilangan kabel akibat kegiatan mencuri oleh penjenayah berkenaan.

 

"Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), lampu limpah, pagar berduri serta peningkatan rondaan mengikut keperluan lokasi turut dilaksanakan bagi melindungi infrastruktur elektrik dan sistem pengairan daripada terus menjadi sasaran kegiatan jenayah," kata Izham. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved