

Gara-gara beberapa kejadian lubang benam di ibu negara, kerajaan dikatakan akan mengambil langkah untuk mengenal pasti lokasi-lokasi yang berisiko tinggi terjadi lubang benam (sink hole) di seluruh negara.
Perkara itu disahkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sebentar tadi.

Malah, langkah yang bakal diambil itu sudah pun dibincangkan dalam kabinet baru-baru ini. Jadi, pihak berkuasa yang terlibat akan menggunakan kaedah sains dan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan masalah tersebut dapat diatasi.
“Kita belum kenal pasti kawasan-kawasan risiko berlaku lubang benam, tetapi kita merentasi kementerian yang terlibat dalam pembangunan dalam kawasan Kuala Lumpur dan Lembah Klang khususnya yang turut melibatkan agensi-agensi lain.
“Jadi, memang ada dikatakan kita cuba mengenalpasti, macam cerun kita sudah kenal pasti lebih 2,000 lokasi cerun,” katanya.
Beliau berkata ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seksyen 1 Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (WCE), sebentar tadi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kebarangkalian lokasi lain yang berisiko terjadi tanah jerlus seperti berlaku di Masjid India, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.
Dalam kejadian tersebut, seorang wanita warga India iaitu G. Vijaya Lakshmini,48, dilaporkan hilang masih belum ditemui sehingga kini.


