
PUTRAJAYA: Kadar gaji minimum negara sedang disemak semula bagi menentukan sama ada kadar semasa RM1,700 sebulan dikekalkan atau dinaikkan ke paras baharu.
Kerajaan membuat semakan itu selaras dengan Seksyen 25 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) dengan keputusan akhir dijangka dibuat selepas proses penetapan kadar baharu dimuktamadkan oleh Majlis Perundingan Gaji dan Gig Negara (MPGGN).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, semakan kadar itu mengambil kira indikator asas iaitu Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan gaji penengah bagi mengukur keperluan asas pekerja serta keupayaan majikan membayar upah.
Selain itu, katanya, kadar itu ditetapkan berdasarkan indikator pelarasan dengan mengambil kira Indeks Harga Pengguna (IHP), produktiviti buruh dan kadar pengangguran.
“Setakat ini, pihak kementerian tidak melaksanakan kajian khusus berkaitan gaji kehidupan wajar. Bagaimanapun, Bank Negara memperkenalkan konsep gaji kehidupan wajar pada tahun 2018 dengan menganggarkan gaji kehidupan wajar di Kuala Lumpur contohnya RM2,700 untuk individu bujang.
“Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) yang diperkenalkan oleh Jabatan Perangkaan di mana kadarnya lebih granular mengikut lokasi, demografi dan corak perbelanjaan isi rumah sebenar
“Dokumen Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) turut menggariskan strategi reformasi pasaran buruh, antaranya mempercepat pelarasan gaji melalui semakan gaji minimum dengan mengambil kira gaji kehidupan wajar dan akan disyorkan kepada kerajaan untuk gaji minimum akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Pada ketika ini, kadar gaji minimum ditetapkan RM1,700 sebulan yang dikuatkuasakan Ogos 2025 selepas semakan dibuat sekali setiap dua tahun.
Dalam pada itu, Ramanan berkata, kerajaan turut memperkenalkan Dasar Gaji Progresif (DGP) sebagai pelengkap kepada model gaji minimum dan sistem gaji berasaskan produktiviti.
Katanya, Gaji Progresif adalah satu strategi kerajaan untuk menganjak struktur upah daripada sekadar gaji lantai kepada gaji yang setimpal dengan kemahiran.
Menurut beliau, sebanyak 5,910 majikan telah memohon melalui Sistem Gaji Progresif dengan 4,025 majikan atau 68.1 peratus telah menaikkan gaji pekerja serta mengemukakan tuntutan insentif Gaji Progresif yang memanfaatkan 51,363 pekerja melebihi sasaran awal sebanyak 50,000 pekerja.
Katanya, kerajaan berjaya menyalurkan bayaran insentif Gaji Progresif sebanyak lebih RM73 juta, meliputi kira-kira RM10.2 juta dibayar bagi kategori pekerja peringkat permulaan, manakala sebanyak RM62.9 juta disalurkan untuk pekerja bukan peringkat permulaan.
“Syarikat yang berdaftar serta memenuhi syarat dan kriteria Gaji Progresif akan menerima insentif berjumlah maksimum RM200 sebulan bagi kumpulan pekerja peringkat permulaan iaitu bekerja dalam tempoh 12 bulan manakala maksimum RM300 sebulan bagi kumpulan pekerja bukan peringkat permulaan bekerja melebihi 12 bulan.
“Jumlah insentif yang diberikan kepada syarikat akan ditentukan oleh kerajaan berdasarkan kedudukan fiskal negara,” katanya.
Ramanan berkata, dasar ini membantu meningkatkan gaji dan kemahiran dengan berlandaskan konsep sukarela, berteraskan insentif, terkait dengan produktiviti, produktif dan terbuka kepada pekerja tempatan.
Melalui Gaji Progresif, jelasnya, pekerja digalakkan mengikuti latihan yang diiktiraf bagi meningkatkan kemahiran dan kecekapan kerja dan perlu memenuhi syarat minimum 21 jam latihan.
“Majikan digalakkan menawarkan kenaikan gaji seiring dengan peningkatan kemahiran, penggunaan teknologi serta amalan kerja berteraskan digital.
“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti dan daya saing syarikat, tetapi juga mempercepatkan peralihan negara ke arah ekonomi digital bernilai tinggi,” katanya.
Pada masa sama, katanya, kementerian menggalakkan majikan menawarkan gaji lebih tinggi melalui pelaksanaan Sistem Gaji Berasaskan Produktiviti, selain mempergiat model gaji berasaskan kesatuan melalui Perjanjian Kolektif.
“Dasar ini bukan sahaja menyasarkan kenaikan gaji yang lebih bermakna, malah bertindak sebagai mekanisme untuk meningkatkan produktiviti buruh memandangkan kenaikan upah di bawah DGP adalah bersyarat kepada penyertaan pekerja dalam latihan peningkatan kemahiran yang diiktiraf,” katanya. – UTUSAN
The post Kadar gaji minimum disemak semula appeared first on Utusan Malaysia.






