Kadar pengangguran September kekal rendah pada 2.9 peratus

Business & Finance
11 Nov 2026 • 12:52 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kadar pengangguran September kekal rendah pada 2.9 peratus

PETALING JAYA: Kadar pengangguran negara kekal rendah pada 2.9 peratus pada September 2026,  dengan jumlah penganggur meningkat sedikit kepada 513,200 orang berbanding 511,600 orang pada Ogos.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, peningkatan itu berlaku ketika pasaran buruh negara terus menunjukkan pertumbuhan stabil susulan prospek ekonomi yang positif.

“Dalam tempoh sama, bilangan penduduk bekerja meningkat 0.1 peratus kepada 16.89 juta orang berbanding 16.87 juta orang pada bulan sebelumnya.

“Bagaimanapun, bilangan penduduk di luar tenaga buruh mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 0.03 peratus kepada 7.10 juta orang berbanding 7.11 juta orang pada Ogos,” katanya dalam kenyataan Statistik Tenaga Buruh, September dan Suku Tahun Ketiga 2026.

Menurut DOSM, bilangan tenaga buruh meningkat 0.1 peratus kepada 17.40 juta orang pada September berbanding 17.39 juta orang pada Ogos, manakala kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 71.0 peratus.

“Bagi suku ketiga, pasaran buruh Malaysia turut mencatatkan perkembangan positif apabila bilangan tenaga buruh meningkat 0.3 peratus kepada 17.33 juta orang berbanding 17.28 juta orang pada suku kedua.

“Kadar penyertaan tenaga buruh keseluruhan meningkat kepada 71 peratus, dengan kadar penyertaan lelaki naik kepada 83.4 peratus berbanding 83.3 peratus sebelumnya, manakala kadar penyertaan wanita pula kekal pada 57 peratus.

“Bilangan penduduk bekerja turut meningkat 0.3 peratus kepada 16.82 juta orang berbanding 16.77 juta orang pada suku kedua, dengan kategori pekerja merangkumi 76.1 peratus daripada keseluruhan penduduk bekerja.

“Kategori pekerja mencatatkan peningkatan 0.2 peratus kepada 12.81 juta orang, manakala bilangan individu bekerja sendiri bertambah 0.5 peratus kepada 2.96 juta orang berbanding 2.94 juta orang pada suku sebelumnya,” katanya.

Bilangan penduduk yang bekerja kurang daripada 30 jam seminggu meningkat 5.2 peratus kepada 241,900 orang berbanding 230,000 orang pada suku kedua.

Dalam perkembangan berkaitan, guna tenaga tidak penuh berkaitan masa iaitu individu yang bekerja kurang daripada 30 jam seminggu tetapi bersedia dan sanggup menerima tambahan waktu bekerja, meningkat kepada 136,900 orang berbanding 121,900 orang sebelumnya.

Kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan masa turut meningkat kepada 0.8 peratus berbanding 0.7 peratus, manakala guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran bertambah 0.4 peratus kepada 1.96 juta orang.

Bagaimanapun, kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran, membabitkan individu berpendidikan tertiari yang bekerja dalam pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah, menurun 0.2 mata peratus kepada 35 peratus.

Mengulas prestasi pengangguran suku ketiga, DOSM berkata, jumlah penganggur meningkat 0.8 peratus kepada 513,700 orang berbanding 509,700 orang pada suku kedua, manakala kadar pengangguran kekal pada 3.0 peratus.

“Daripada jumlah itu, 79.7 peratus atau 409,300 orang adalah penganggur aktif yang bersedia untuk bekerja dan sedang mencari pekerjaan, manakala 20.3 peratus lagi terdiri daripada penganggur tidak aktif.

“Mengikut tempoh pengangguran, 67.3 peratus daripada penganggur aktif menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 3.1 peratus merupakan penganggur jangka panjang yang tidak bekerja melebihi setahun,” katanya.

Dari segi taburan negeri, Putrajaya mencatatkan kadar pengangguran terendah pada 1.3 peratus, diikuti Melaka dan Selangor masing-masing 2.0 peratus serta Pahang pada 2.1 peratus.

DOSM berkata, usaha memperkukuh pasaran buruh perlu diteruskan seiring perkembangan teknologi dan transformasi ekonomi, termasuk memperluas latihan kecerdasan buatan (AI) serta automasi bagi memastikan pekerja mempunyai kemahiran yang relevan dengan keperluan industri.

“Selain itu, usaha membantu penempatan semula pekerja yang terjejas akibat perubahan teknologi, menggalakkan pelaburan dalam teknologi peningkatan produktiviti serta memperkukuh pemantauan awal terhadap sektor berisiko mengalami pengurangan tenaga kerja perlu dipertingkatkan.

“Peluasan peluang pekerjaan dalam industri berteknologi tinggi juga penting bagi memastikan tenaga kerja tempatan kekal berkemahiran, produktif dan berdaya saing,” katanya. – UTUSAN

The post Kadar pengangguran September kekal rendah pada 2.9 peratus appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved