
PUTRAJAYA: Atlet yang memenangi pingat emas dalam acara berpasukan pada temasya utama kini bakal menikmati ganjaran RM40,000 seorang selepas kerajaan menaikkan kadar Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) berkuat kuasa serta-merta.
Peningkatan itu menyaksikan ganjaran emas melonjak 166.67 peratus daripada RM15,000 kepada RM40,000, sekali gus menamatkan penantian 24 tahun untuk semakan kadar insentif bagi acara berpasukan.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, keputusan berkenaan dibuat bagi memastikan pengorbanan atlet yang menyumbang kepada kejayaan pasukan mendapat pengiktirafan lebih setimpal.
Menurutnya, perkembangan prestasi sukan negara memerlukan suntikan motivasi baharu supaya atlet terus berusaha mencapai kejayaan di pentas antarabangsa.
“Kalau kita lihat perkembangan atlet-atlet kita yang luar biasa hebat, kita perlu memberikan ganjaran yang terbaik.
“Kita juga perlu memberikan suntikan baharu supaya atlet lebih bersemangat, selain memastikan kebajikan dan ganjaran mereka terjamin,” katanya pada sidang media khas SHAKAM di Menara KBS, hari ini.
Selain emas, ganjaran pingat perak turut dinaikkan daripada RM8,000 kepada RM20,000 seorang, manakala gangsa meningkat daripada RM4,000 kepada RM10,000.
Kadar baharu itu diluluskan menerusi Mesyuarat Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) pada 10 November lalu dan turut meliputi pencapaian atlet dalam temasya tahun ini.
Pelaksanaan semakan berkenaan membabitkan 66 atlet daripada 10 pasukan pemenang pingat Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Selain itu, tambahan peruntukan RM1.152 juta termasuk insentif jurulatih menerusi Skim Galakan Jurulatih (SGAR) tidak akan menjejaskan program pembangunan, latihan atau penyertaan atlet dalam kejohanan antarabangsa. – UTUSAN
The post SHAKAM: Atlet acara berpasukan kini terima RM40,000 bagi emas appeared first on Utusan Malaysia.






