Kadar penghunian pusat beli-belah kendalian KIP REIT kekal pada paras 98.7%, kata Apex Securities

LocalBusiness & Finance
6 Aug 2025 • 4:54 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kadar penghunian pusat beli-belah kendalian KIP REIT kekal pada paras 98.7%, kata Apex Securities

image is not available

06/08/2025 - 16:54

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Kadar penghunian pusat beli-belah di bawah kendalian KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) kekal pada paras 98.7% disokong hubungan baiknya dengan penyewa utama termasuk Econsave, Jaya Grocer, Giant, Hwa Thai, dan Mr DIY.

Apex Securities berkata, ia juga turut mendapat manfaat daripada perjanjian pajakan induk jangka panjang dengan Aeon Mall Kinta City, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen runcit berorientasikan komuniti di Malaysia.

Katanya, penyewa-penyewa utama itu memainkan peranan penting dalam meningkatkan jumlah pengunjung dan memastikan pendapatan sewa yang konsisten, sambil memberikan fleksibiliti kepada pihak pengurusan dalam menyusun campuran penyewa yang seimbang.

"Kadar penghunian tinggi ini mencerminkan strategi penyewaan yang berkesan dan daya tarikan KIP REIT kepada pengguna serta peruncit.

"Pihak pengurusan menjangkakan peningkatan sewa positif berterusan antara 7% hingga 10% pada FY26, menunjukkan momentum pertumbuhan yang kukuh dan daya tahan dalam sektor runcit pinggir bandar," katanya dalam satu nota kajian.

Firma penyelidikan itu berkata, strategi pertumbuhan KIP REIT kekal fokus kepada pemerolehan hartanah yang menjana pendapatan dengan penyewa sedia ada, yang lazimnya dipajakkan antara 12 hingga 15 tahun, dengan pulangan sekitar 6.5% hingga 7.5%.

Pertumbuhan itu katanya, turut disokong potensi suntikan aset daripada penaja utama, yang memiliki hartanah seperti KIPMall Kota Warisan dan KIPMall Kuantan.

"Sokongan kukuh daripada pelabur institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), AIA, dan Allianz—dengan KWSP sebagai pemegang saham utama—menunjukkan keyakinan pasaran terhadap prospek jangka panjang KIP REIT dan meningkatkan daya tarikannya dalam pasaran modal," katanya.

Apex Securities memulakan liputan ke atas KIP REIT dengan saranan "beli' pada harga sasaran (TP) RM1.07 sesaham. - DagangNews.com

standard