TA Securities naikkan unjuran pendapatan KIP REIT didorong semakan semula kadar sewa, sumbangan aset baharu

Business & FinanceProperty
4 Aug 2025 • 4:43 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TA Securities naikkan unjuran pendapatan KIP REIT didorong semakan semula kadar sewa, sumbangan aset baharu

image is not available

04/08/2025 - 16:43

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Ogos -TA Securities menaikkan unjuran pendapatan KIP Real Investment Trust (KIP REIT) didorong semakan semula kadar sewa dan sumbangan tambahan daripada aset baharu.

Firma penyelidikan itu menaikkan unjuran pendapatan untuk tahun kewangan 2026 yang berakhir pada 30 Jun (FY26) dan FY27 masing-masing sebanyak 3% dan 7%.

Mereka juga berpandangan "positif" terhadap prospek jangka pendek KIP REIT.

"Pihak pengurusan kekal komited untuk memperkasa portfolio KIP REIT melalui penambahbaikan aset secara aktif, kerjasama strategik, dan pengambilalihan yang menjana pulangan.

"Di KIPMall Tampoi di Johor, kerja-kerja penambahbaikan telah dimulakan dan disasarkan siap menjelang Februari tahun hadapan," katanya dalam satu nota kajian.

TA Securities berkata, kerja-kerja naik taraf tersebut akan menambah 10,000 kaki persegi kawasan boleh disewa bersih serta merangkumi penambahbaikan infrastruktur, peningkatan tawaran makanan dan minuman, integrasi digital dan ciri kelestarian — semuanya bertujuan untuk meningkatkan jumlah pengunjung ke pusat beli-belah dan membuka potensi peningkatan kadar sewa.

Dalam perkembangan berasingan, firma penyelidikan itu berkata, pada Mac lalu, KIP REIT telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Aeon Co (M) Bhd untuk pengembangan AEON Mall Kinta City di Perak.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut, Aeon telah memperbaharui pajakan bagi ruang sedia ada dan akan memajak keseluruhan ruang tambahan yang akan dibangunkan, sekali gus mengukuhkan komitmen jangka panjangnya terhadap lokasi tersebut.

Katanya, kedua-dua pihak kini berada di peringkat akhir rundingan, dengan kerja pembinaan dijangka dimulakan tidak lama lagi dan penyempurnaan disasarkan pada 2027.

"Dari segi pengambilalihan, KIP REIT berada di landasan tepat bagi tiga aset industri bernilai RM75.7 juta.

"Aset-aset di Sarawak dan Johor dijangka siap dalam masa terdekat, manakala hartanah di Klang dijadualkan siap menjelang akhir tahun ini," katanya.- DagangNews.com

standard