GEORGE TOWN – Kadar ketidakhadiran calon dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Pulau Pinang menunjukkan penurunan ketara hasil pengesanan awal dan intervensi berfokus oleh pihak sekolah serta Kementerian Pendidikan (KPM).
Kadar ketidakhadiran calon itu mencatatkan penurunan kepada 1.09 peratus berbanding tahun sebelumnya sekali gus menunjukkan peningkatan kehadiran yang memberangsangkan.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohammad Dziauddin Mat Saad berkata, daripada keseluruhan 20,057 calon berdaftar, seramai 17,933 hadir menduduki peperiksaan menjadikan kadar kehadiran keseluruhan sebanyak 98.91 peratus.
Menurutnya, jumlah calon yang tidak hadir bagi semua kertas peperiksaan menurun kepada 199 orang berbanding 239 calon pada tahun lalu.
“Penurunan ini mencerminkan keberkesanan pelbagai langkah intervensi yang dilaksanakan bagi memastikan pelajar kekal berminat dan komited untuk menduduki peperiksaan,” katanya pada sidang akhbar Pengumuman Analisis Keputusan SPM 2025 Pulau Pinang di JPN Pulau Pinang pada Selasa.
Beliau berkata, peningkatan jumlah calon juga direkodkan apabila seramai 20,057 pelajar mendaftar bagi SPM 2025, meningkat sebanyak 804 orang atau kira-kira empat peratus berbanding tahun sebelumnya.
Mohammad Dziauddin berkata, sebahagian calon SPM tahun ini didaftarkan secara automatik susulan pelaksanaan pendaftaran percuma termasuk mereka yang sebenarnya telah berhenti sekolah.
“Apabila pendaftaran dibuat secara automatik, ada calon yang tidak mengesahkan status mereka sama ada masih bersekolah atau telah berhenti.
"Akhirnya, mereka tidak hadir menduduki peperiksaan,” katanya.
Jelasnya, kebanyakan calon yang tidak hadir merupakan individu yang telah memasuki alam pekerjaan dengan alasan utama untuk menyara kehidupan atau membantu keluarga.
"Bagi menangani isu itu, KPM menggunakan Indeks Petunjuk Prestasi Individu (IPPI) yang mengandungi 15 soalan bagi mengenal pasti punca sebenar ketidakhadiran pelajar.
"Melalui data tersebut, kaunselor sekolah akan menjalankan analisis dan mengambil tindakan susulan bersesuaian termasuk memberi bimbingan kepada pelajar yang hilang minat terhadap pembelajaran atau terpaksa bekerja.
“Jika pelajar menyatakan mereka perlu bekerja untuk menyara keluarga, kita akan melihat ruang bantuan yang boleh diberikan. Pendekatan ini lebih bersasar mengikut keperluan setiap murid,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohammad Dziauddin berkata, seramai 69 calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK) dikenal pasti menduduki SPM tahun ini, melibatkan dua kategori iaitu sekolah pendidikan khas dan program pendidikan inklusif di sekolah harian.
Katanya, dari segi pencapaian, sebanyak 30 sekolah di Pulau Pinang berjaya mengekalkan kadar lulus 100 peratus.
"Bagi gred purata sekolah terbaik, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul mencatatkan keputusan cemerlang dengan gred purata 1.68 berbanding 1.75 peratus tahun sebelumnya.
"Selain itu, Sekolah Menengah Agama Al-Bisharah muncul sebagai sekolah agama terbaik manakala Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin mencatat lonjakan memberangsangkan apabila meningkatkan gred purata daripada 2.78 kepada 1.98 peratus," katanya.
Mengulas jurang pencapaian antara bandar dan luar bandar, beliau berkata, perbezaan tersebut semakin mengecil dengan jurang menurun daripada 1.33 kepada 1.25 mata.
“Di Pulau Pinang, kategori luar bandar hanya melibatkan sebuah sekolah iaitu SMK Teluk Bahang namun usaha berterusan berjaya mengurangkan jurang pencapaian.
"Keputusan calon cemerlang peringkat nasional pula akan diumumkan oleh Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat," ujarnya.


