
KUALA LUMPUR - “Perkahwinan politik” dua mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Seri Muhyiddin Yassin hingga wujud pelbagai entiti di bawah kepimpinan dua tokoh itu hanya menipu rakyat.
Demikian sindir Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Puad Zarkashi, yang mendakwa penubuhan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) pimpinan Muhyiddin dan Sekretariat Orang Melayu (Mahathir) menunjukkan mereka seperti tidak sebumbung, walau setuju bekerjasama.
“Kalau sudah ada PN, buat apa lagi tubuh IPR dan Sekretariat Melayu? Kenapa tidak bawah satu bumbung sahaja?” demikian soalnya dalam satu perkongsian di Facebook.
Jun lalu, gerakan dinamakan Sekretariat Orang Melayu dibentuk bertujuan menyatukan semua pihak yang memperjuangkan nasib kaum itu di bawah satu ‘payung besar’.
Media sebelum ini melaporkan pengasasnya, Tun M berkata, inisiatif itu langkah mengembalikan kuasa politik dan cabaran dihadapi orang Melayu, dengan perbincangannya turut membabitkan Muhyiddin dan Presiden PAS, Hadi Awang, baru-baru ini.
Pada 18 Ogos lalu, gabungan 11 parti pembangkang diketuai Muhyiddin turut menubuhkan gabungan longgar dikenali IPR bagi memperjuangkan isu rakyat didakwa gagal ditangani Putrajaya, termasuk janji reformasi yang belum dilaksanakan.
Puad berkata, langkah itu menggambarkan betapa rapuhnya perpaduan dalam kalangan pembangkang kerana wujud terlalu banyak “kepala” ingin menjadi ketua.
Tegasnya, walaupun PN, IPR dan Sekretariat Orang Melayu mempunyai pengemudi sama, mereka tetap gagal menunjukkan kesatuan sebenar.
“Itu namanya bersatu, tetapi berpecah. Banyak sangat kepala, ramai sangat mahu jadi ketua,” katanya yang mendakwa ia berpunca daripada kehadiran P Ramasamy dan P Waytha Moorthy yang masing-masing mengetuai Urimai serta Parti Kemajuan Malaysia.
Penyertaan mereka jelasnya menyebabkan Muhyiddin menubuhkan IPR untuk menarik pelbagai kaum, sementara Mahathir pula mahu menambat hati orang Melayu melalui Sekretariat Orang Melayu.
“Penubuhan banyak cabang ini hanya mahu menipu rakyat.”
"Tujuan sebenar hanya untuk mencari kuasa. Ia akan cepat rapuh, bersifat sementara dan tiada stabiliti untuk perihatin rakyat," katanya. - 19 Oktober, 2025
The post ‘Kahwin Palsu’ politik Dr M-Muhyiddin, hanya menipu rakyat: Puad appeared first on Scoop.

