
PETALING JAYA: Kerajaan dicadangkan untuk mengkaji semula dasar mengenai percukaian dan rasionalisasi subsidi yang diperkenalkan kepada rakyat ketika ini.
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hal ini disebabkan dasar percukaian dan rasionalisasi subsidi itu dilihat memberi kesan langsung kepada beban yang ditanggung oleh rakyat.
“Saya berharap langkah-langkah yang diumumkan ini akan disusuli dengan langlah-langkah lain yang lebih komprehensif untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat, membantu perniagaan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi menerusi Belanjawan 2027.
“Ini termasuk mengkaji semula dasar mengenai percukaian dan rasionalisasi subsidi yang dilihat memberikan kesan langsung kepada beban yang sedang ditanggung oleh rakyat pada masa ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, beliau menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai langkah-langkah meringankan beban kos sara hidup rakyat, membantu perniagaan dan memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Katanya, keputusan mengembalikan semula had kelayakan subsidi RON95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan dan menaikkan ambang pengecualian pelaksanaan e-invois kepada perniagaan dengan hasil jualan sehingga RM3 juta setahun dijangka dapat membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Tambahnya, ia juga membantu perniagaan yang sedang bergelut dengan masalah kenaikan kos.
“Susulan daripada pengumuman langkah-langkah ini, adalah penting untuk kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan menyalurkan peruntukan dengan kadar segera dan memastikan setiap bantuan sampai kepada individu dan perniagaan yang layak,” katanya.
Muhyiddin turut berharap inisiatif lain yang turut diumumkan kerajaan melibatkan sektor pendidikan, kesihatan, ekonomi digital dan peniaga kecil dapat meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan serta merancakkan perniagaan khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana. – UTUSAN
The post Kaji semula dasar cukai, rasionalisasi subsidi – Muhyiddin appeared first on Utusan Malaysia.





